Empat exco Perlis jalani kuaratin di rumah

Hebahkan !!!


Datuk Seri Azlan Man

15/01/2021 03:15 PM

KANGAR, 15 Jan — Empat Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) Perlis menjalani kuarantin di rumah sementara menunggu keputusan ujian saringan COVID-19, kata Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.

Beliau berkata empat Exco itu menghadiri mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Padang Besar pada 3 Jan lepas, yang turut dihadiri Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin yang disahkan positif COVID-19 pada Rabu.

“Empat Exco itu ialah Azizan Sulaiman yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Santan; Ruzaini Rais (ADUN Beseri), Asmaiza Ahmad (ADUN Chuping) dan Siti Berenee Yahaya (ADUN Mata Ayer),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelepasan Sumbangan Kerajaan Negeri Perlis dalam Misi Bantuan Bencana Banjir Pahang di Kompleks Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

“Mereka memang menghadiri mesyuarat itu dan bersama-sama Datuk Zahidi, mereka secara sukarela membuat saringan COVID-19 dan keputusaan ujian akan diperoleh dalam masa terdekat sama ada hari ini atau esok,” katanya.

Azlan menasihatkan mana-mana individu termasuk wakil rakyat yang mempunyai hubungan rapat atau kontak dengan Zahidi yang juga Ahli Parlimen Padang Besar agar segera menghubungi pusat kesihatan terdekat.

“Ia sebagai langkah awal dalam membendung penularan COVID-19 yang pastinya memberi risiko besar kepada negeri ini,” katanya.

Leave a Reply

%d bloggers like this: