COVID: Thailand catat 198 kes baharu, satu kematian

23/01/2021 07:29 PM

Oleh Linda Khoo Hui Li

BANGKOK, 23 Jan — Thailand mencatatkan 198 kes baharu COVID-19 dan satu kematian dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara itu setakat ini ialah 13,302 dengan 72 kematian.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Panprapa Yongtrakul berkata kes kematian itu membabitkan seorang lelaki warga emas tempatan berusia 81 tahun dari wilayah Phichit yang mempunyai masalah kesihatan dan beliau diuji positif pada 3 Jan lepas sebelum meninggal dunia pada Jumaat malam.

Daripada 198 kes baharu itu, Dr Panprapa berkata 180 adalah jangkitan tempatan yang menyaksikan 111 dikesan melalui pengesanan kes aktif (107 di Samut Sakhon dan empat di Bangkok) manakala 18 merupakan kes import.

“Daripada sejumlah 13,302 kes COVID-19 yang dilaporkan di negara ini sejak Januari tahun lepas, sebanyak 10,945 kes adalah jangkitan tempatan termasuk 4,495 yang dikesan melalui pengesanan kes aktif manakala 2,357 merupakan kes import,” katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini hari ini.

Sementara itu, timbalan jurucakap Kementerian Hal Ehwal Luar Natapanu Nopakun berkata saintis perubatan dari Fakulti Perubatan Universiti Chulalongkorn di Bangkok bersiap sedia untuk ujian klinikal pertamanya ke atas vaksin COVID-19 yang dibangunkan secara tempatan pada April.

Beliau berkata vaksin itu, ChulaCov19 yang dibangunkan fakulti berkenaan, menggunakan Messenger RNA atau mRNA yang membolehkan tubuh mengeluarkan protein bagi mencetuskan respons imun terhadap virus tersebut.

Natapanu berkata teknologi itu digunakan syarikat peneraju dalam bidang farmaseutikal seperti Moderna, Pfizer serta BioNTech dan terbukti mempunyai kadar keberkesanan lebih 90 peratus.

“Sekumpulan sukarelawan berusia lingkungan 18 hingga 75 tahun dijangka disuntik dengan vaksin ini pada April. Keputusannya dijangka ketahui pada Jun. Selepas itu, pasukan penyelidik akan mempelajari mengenai dos yang sesuai bagi menghasilkan vaksin paling berkesan.

“Pasukan penyelidik kemudian akan terus ke fFasa 2 dan selepas itu, Fasa 2B. Jika semuanya berjalan lancar seperti yang dirancang, vaksin itu boleh dikeluarkan menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Thailand telah memesan sejumlah 61 juta dos vaksin COVID-19 yang dibangunkan AstraZeneca dan Universiti Oxford serta dua juta dos lagi daripada Sinovac Biotech.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *