Runtuhan ais di Uttarakhand, India ragut 14 nyawa

08/02/2021 04:04 PM

NEW DELHI, 8 Feb — Empat belas mayat telah ditemui dan lebih 100 orang masih hilang sehari selepas sebahagian glasier Himalaya runtuh di utara India, yang mengakibatkan banjir besar, kata para pegawai pada Isnin, lapor Agensi Anadolu.

Sebahagian daripada glasier Nanda Devi, gunung kedua tertinggi di India, pecah di kawasan Tapovan di daerah Chamoli, negeri Uttarakhand yang mencetuskan banjir dan merosakkan projek tenaga air Rishiganga.

Polis Chamoli pada Isnin berkata 15 orang telah diselamatkan.



Operasi menyelamat besar-besaran bermula pada Ahad dengan gambar dan video yang dikongsi di media sosial menunjukkan banjir dan kerosakan besar di kampung-kampung.

Jurucakap Polis Sempadan Indo-Tibet yang terlibat dalam operasi menyelamat, Vivek Pandey berkata berdasarkan maklumat yang diterima dari pihak pentadbiran, kira-kira 170 orang masih hilang.

Tentera Udara India pada Isnin berkata “misi menyelamat dan bantuan udara telah disambung semula.”

Selain mengerahkan pasukan tentera, turut menyertai operasi menyelamat ialah pasukan khas penyelamat udara India termasuk pasukan khas komando laut.



Kebanyakan mangsa yang hilang adalah pekerja projek tenaga elektrik.

Ketua Pengarah Pasukan Pemulihan Bencana Negara S.N. Pradhan berkata lebih banyak pasukan telah diarahkan membantu.

Perdana Menteri Narendra Modi pada Ahad mengatakan beliau “memantau rapat situasi itu” ketika melakukan perjalanan ke negeri bagian timur laut Assam untuk melancarkan projek jalan raya negeri.

Beliau kemudian mengumumkan pampasan kepada mereka yang terbunuh dan cedera.

60 runtuhan dikesan halang laluan di Bukit Fraser

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker