KDA FC: Penyokong Kedah diharap setuju keputusan presiden KFA

20/02/2021 12:10 AM

ALOR SETAR, 19 Feb — Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) memohon penyokong pasukan Kedah bersetuju dengan keputusan persatuan untuk tidak meneruskan rundingan pengambilalihan 80 peratus saham Kedah Darul Aman (KDA) FC oleh sebuah syarikat tempatan.

KFA dalam satu kenyataan malam ini memaklumkan semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif KFA percaya keputusan presidennya Muhammad Sanusi Md Nor dibuat selepas mempertimbangkan semua aspek teknikal dan perundangan.

“KFA juga menyokong supaya KDA FC diuruskan sepenuhnya syarikat Darul Aman Football Club Sdn Bhd buat masa ini.

“Pintu rundingan juga terbuka kepada mana-mana pihak ingin membuat penawaran lebih lestari dan menguntungkan kedua-dua pihak selain terus meninjau peluang pelaburan yang ada,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, KFA turut menekankan bahawa setiap tawaran yang dilakukan bertujuan untuk pemilikan saham tanpa melibatkan galang ganti hak rakyat negeri Kedah.

Rabu lepas, Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah memaklumkan urusan pengambilalihan 80 peratus saham KDA FC oleh sebuah syarikat besar yang diumumkan sebelum ini tidak dapat dimuktamadkan.

Beliau dipetik sebagai berkata pintu rundingan dengan syarikat itu juga sudah ditutup sepenuhnya dan KFA mengalu-alukan syarikat lain yang berminat memiliki saham KDA FC, mengadakan rundingan dengan pihaknya.

“Cadangan pelaburan syarikat tersebut tidak dapat dipersetujui kerana melibatkan aset utama rakyat negeri ini. Demi keutamaan hak rakyat dan melihat keuntungan jangka panjang kepada rakyat Kedah berbanding pulangan pelaburan jangka pendek kepada KDA FC, ia adalah keputusan yang cukup jelas.

“Justeru, KFA menyokong penuh jika pada masa hadapan, rundingan pengambilalihan saham KDA FC diteruskan kepada mana-mana pihak yang berkemampuan untuk mengurus operasi kelab itu tanpa meletakkan tawaran berserta syarat di luar bidang kuasa syarikat pengurusan,” menurut kenyataan itu.

Menurut KFA, banyak lagi modal pelaburan yang dapat menguntungkan kedua-dua pihak sekiranya sesuatu pelaburan itu bersandarkan kepada industri bola sepak dan melihat kelestarian sesuatu pelaburan di tempat sepatutnya.

Leave a Reply