Pampasan RM50,000 untuk kesan sampingan vaksin


© Provided by Free Malaysia Today Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata bantuan khas kewangan kesan mudarat vaksin akan…

PETALING JAYA: Kerajaan mengumumkan bantuan khas kewangan kesan mudarat vaksin dengan dana permulaan RM10 juta bagi tujuan pampasan untuk individu yang mungkin mengalami kesan sampingan selepas imunisasi.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata penerima vaksin yang mengalami kesan sampingan serius sehingga terpaksa dirawat di hospital boleh mendapat sehingga RM50,000.

Sementara itu, mereka yang mengalami kecacatan kekal atau kematian pula boleh mendapat RM500,000.



Dana itu akan diuruskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

“Ini adalah langkah praktikal diambil oleh kerajaan untuk berdepan kemungkinan kesan sampingan akibat vaksin Covid-19. Ini akan membantu membiayai keperluan mereka yang mungkin terjejas,” kata Adham pada sidang media hari ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin yang turut hadir berkata, ini juga menunjukkan keyakinan kerajaan terhadap vaksin berkenaan.

Khairy mengumumkan perjanjian ditandatangani pagi tadi untuk mendapatkan 12 juta dos lagi vaksin Sinovac, yang akan diisi dan disiapkan oleh Pharmaniaga. Ini berbeza daripada dos lengkap yang diterima terus dari China.



Katanya, kira-kira 100,000 lagi dos lengkap vaksin itu tiba di Malaysia hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan dos lengkap vaksin Sinovac sebanyak 200,000.

Selain itu, beliau dan Adham akan membincangkan tarikh pelancaran fasa kedua Program Vaksinasi Kebangsaan Covid-19 dengan jawatankuasa khas, dan dijangka membuat pengumuman minggu depan.

Disoal mengenai dakwaan Majlis Ulama Indonesia bahawa vaksin AstraZeneca adalah “haram tapi harus”, Khairy berkata agensi relevan akan meneliti komponen vaksin itu dan mengumumkan keputusan mereka.

Katanya, AstraZeneca juga akan membentangkan jadual penghantaran vaksin kepadanya dalam masa seminggu.

Pada Jumaat, majlis ulama Indonesia berkata vaksin itu haram kerana proses pembuatannya menggunakan “tripsin dari pankreas babi”.

Bagaimanapun, majlis itu membenarkan penggunaan vaksin berkenaan memandangkan berlaku pandemik.

Khairy turut mengumumkan 6,155,213 atau 25.4% populasi mendaftar untuk vaksin itu menerusi aplikasi MySejahtera.

Sejumlah 412,342 orang menerima dos pertama, manakala 16,368 sudah disuntik kali kedua.

Vaksin COVID-19 selamat, tiada kesan sampingan jangka panjang – MOSTI

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker