Kapal Berlabuh Cara Haram Ditahan Maritim

 

Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah menahan sebuah kapal kargo yang disyaki bersauh secara haram di perairan Johor Timur pada Rabu.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal kargo yang berdaftar dari Kuching, Sarawak itu ditahan oleh aset Maritim Malaysia di kedudukan 3.8 batu nautika tenggara Tanjung Punggai pada jam 9.10 pagi.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati kapal kargo tersebut dikendalikan oleh 12 kru warga tempatan dan Indonesia berumur antara 30 hingga 70 tahun serta mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kapal kargo tersebut didapati telah bersauh di perairan ini sejak 24 Ogos dan nakhoda kapal juga gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut Malaysia.

“Kapal serta kesemua kru telah ditahan, manakala nakhoda dan ketua jurutera kapal dibawa ke Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Menurut Nurul Hizam, kes terbabit disiasat dibawah Seksyen 491B(1)(l) kerana bersauh tanpa kebenaran.

Jika didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Untuk rekod, sejak Januari 2021 sehingga kini, Maritim Malaysia Negeri Johor telah menahan sebanyak 90 buah kapal di bawah kesalahan bersauh tanpa kebenaran iaitu 72 buah kapal telah ditahan dalam Operasi Jangkar Haram yang dilancarkan pada 24 Mac tahun ini.

“Sehubungan itu, kapal-kapal yang ingin berlabuh perlu mendapatkan kelulusan daripada pihak Jabatan Laut Malaysia Wilayah Selatan sekiranya tidak mahu berdepan dengan tindakan tegas pihak berkuasa,” katanya. – sinar

 

Kabinet Tanpa TPM Lebih Praktikal

 

Leave a Reply