Pembantu perawatan’ kantoi’ pasang kamera intip

 

Bunyi benda jatuh didengari seorang jururawat membongkar penemuan kamera mini yang dipasang dalam bilik mandi di sebuah wad di Hospital Kulim, Khamis lalu.

Dalam kejadian jam 6.20 petang, jururawat berusia 30 tahun terbabit yang curiga melihat peralatan elektronik berkenaan menghubungi polis.

Laporannya itu membawa kepada penahanan seorang lelaki yang juga pembantu perawatan kesihatan hospital berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Sazalee Adam berkata, siasatan mendapati jururawat terbabit yang berada dalam bilik mandi menemukan peralatan elektronik itu dalam kotak tisu yang dilekat di dinding selepas dia membuat pemeriksaan apabila terdengar bunyi benda terjatuh.

“Jururawat itu kemudian menghubungi dan menyerahkan semua barang terbabit kepada polis dan hasil siasatan lanjut seorang lelaki yang juga kakitangan hospital berkenaan berjaya ditahan.

“Suspek yang berusia 35 tahun ditahan jam 7.20 malam hari yang sama di hadapan sebuah wad hopital terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, selain kamera mini, polis turut merampas pengecas mudah alih, sebuah telefon bimbit, dua kad sim, memori kad dan kabel daripada suspek.

“Hasil siasatan awal, suspek mengaku yang dia membeli kamera mini berkenaan dalam satu aplikasi platform e-dagang secara dalam talian sejak sebulan lalu.

“Suspek juga mendakwa dia meletakkan kamera mini terbabit jam 5 petang pada hari sama namun kita masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

metro

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker