Penjualan binaan Istana di Perak ditangguhkan

Kerajaan Perak menangguhkan pelaksanaan proses tender penjualan tapak bekas Istana Raja Muda di Jalan Syed Abu Bakar di Teluk Intan.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad, berkata, ia bagi membolehkan beberapa kajian terperinci berkaitan tapak itu dibuat selepas mengambil kira pandangan dan bantahan beberapa pihak.

Begitu pun, Saarani berkata tiada sebarang bantahan diterima daripada mana-mana pihak sewaktu tempoh bantahan awam (public hearing) mengenai keputusan menjual tapak seluas 2.092 hektar itu dibuat pada 21 Januari lalu.

“Kita mengambil kira dan hormati pandangan dari orang awam, maka sebab itu hari ini kerajaan negeri buat keputusan untuk menangguhkan pelaksanaan tender tanah terbabit.


“(Walaupun) tiada apa-apa bantahan yang dikemukakan pada tempoh ‘public hearing’ dibenarkan iaitu antara jam 8 pagi hingga 12 tengah hari, 21 Januari lalu.

“Disebabkan kerajaan negeri melalui Mesyuarat Exco pada 1 Julai 2020 sudah bersetuju untuk tanah itu ditender, maka kerana itulah Pejabat Daerah dan Tanah Hilir Perak melaksanakan proses tender itu,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, dan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi.

Saarani berkata, proses tender tanah terbabit seharusnya berlangsung bermula 15 September lalu hingga 6 Oktober ini iaitu susulan pembatalan tapak rizab istana terbabit yang diwartakan melalui warta kerajaan negeri Perak nombor 607 bertarikh 18 Mac 2021.

Ditanya mengenai tindakan terhadap beberapa lagi tapak bersejarah dan warisan sekitar Perak yang dikatakan mengalami nasib serupa selain terbiar, Saarani berkata tiada jawapan dan keputusan piawai dapat diberikan memandangkan sebahagiannya terpaksa mengikut lunas undang-undang.

“Bukan semua tempat itu di bawah (milikan) kerajaan negeri, ada yang di bawah Jabatan Warisan Negara, Jabatan Muzium Malaysia, bahkan dimiliki pihak persendirian.

“Memanglah, ada tapi kita kena buat kajian (dahulu). Saya tak boleh beri satu ‘standard’ jawapan kerana sebahagiannya terbabit dengan proses perundangan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Saarani berkata kerajaan negeri akan mempertimbangkan semula keputusan menjual tapak bekas istana berkenaan secara tender terbuka untuk laluan pembangunan projek komersial dan bangunan bercampur.

Dalam pada itu, Saarani berkata kerajaan negeri bersama Gas Malaysia sedang dalam proses mendapatkan kelulusan Suruhanjaya Tenaga bagi pelaksanaan projek membina jaringan paip gas asli sejauh 62 kilometer dari Kampung Kuala Bikam, Bidor ke Proton City, Tanjung Malim membabitkan nilai RM105 juta.

Katanya, projek itu dikatakan bukan sahaja mampu memperkukuhkan pertumbuhan industri automotif di Tanjung Malim, tetapi turut memberi limpahan manfaat kepada sekurang-kurangnya lapan kawasan industri di sekitarnya selain berpotensi menarik pelaburan baharu.

“Gas Malaysia Berhad dengan kerjasama Invest Perak, pihak berkuasa tempatan serta Pejabat Daerah dan Tanah juga sedang mengenal pasti jenis-jenis kluster industri di kawasan berkenaan yang berpotensi sebagai prospek pengguna masa hadapan.

“Sekiranya dilaksanakan kelak, ia akan memperkukuhkan jaringan paip gas asli di negeri Perak yang kini sudah mempunyai lima jaringan gas asli iaitu di Parit Buntar sejauh 8 kilometer (KM), Taiping (46KM), Sitiawan (38KM), Teluk Intan (27KM) dan Lembah Kinta (140KM),” katanya.

BH

Leave a Reply