Mahkamah tolak permohonan Najib

 

Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menangguhkan tarikh keputusan bagi rayuan sabitan dan hukuman kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) yang dijadualkan pada 8 Disember ini.

Perkara itu dimaklumkan melalui surat yang ditandatangani Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron kepada Najib, firma guaman Tetuan Shafee & Co dan Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara.

Pada Selasa, bekas perdana menteri itu memohon kepada mahkamah untuk menangguhkan tarikh keputusan rayuan berkenaan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya.

Beliau memohon untuk menangguhkannya ke tarikh selepas 13 Disember kerana bekas perdana menteri itu perlu menjalani kuarantin di rumah sekembalinya dari Singapura.

Najib merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lalu yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan, membabitkan RM42 juta dana SRC.

SRC ialah subsidiari kepada syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).


awani

Leave a Reply