Lelaki dipenjara 5 bulan lindungi Long Tiger

 

 

Seorang lelaki dihukum penjara lima bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan melindungi lelaki Rohingya dikenali Long Tiger di rumahnya, bulan lalu.



Rusli Mat, 47, yang bekerja sendiri membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurul Ainna Ahmad.

Mengikut pertuduhan, Rusli didakwa melindungi Abdul Hamim Ab Hamid, 33, di sebuah rumah bernombor 854A Kebun Tebu, Jalan Kuala Ketil, jam 3.15 petang, pada 28 Disember tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 216 Kanun Keseksaan kerana melindungi pesalah yang lari daripada jagaan atau yang diperintah supaya ditangkap.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun dan juga denda.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Azreem Mamat dan Zulfadzly Hassan, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Ruzanna Abdul Rahim.

Terdahulu, Ruzanna memohon mahkamah meringankan hukuman kerana ia adalah kesalahan pertama tertuduh, selain tidak mempunyai rekod jenayah.

Nurul Ainna kemudian menjatuhkan hukuman lima bulan penjara terhadap tertuduh.

Pada 28 Disember tahun lalu, sepasukan anggota polis Bukit Aman dan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor berjaya menahan Long Tiger di sebuah rumah di Kebun Tebu, Jalan Kuala Ketil.

Serbuan dilakukan jam 3 petang itu turut membawa kepada penahanan seorang pondan dipercayai menyembunyikan Long Tiger yang ketika itu menjadi buruan polis selama hampir dua minggu.

Ketika ditahan, penghuninya enggan membuka pintu dan Long Tiger dikesan cuba melarikan diri dengan memanjat bumbung rumah itu, namun terjatuh.

Hasil siasatan mendapati, pondan itu baru sebulan mengenali Long Tiger melalui media sosial dan dipercayai mendapat upah melindungi lelaki yang diburu polis itu.

Pada 15 Disember tahun lalu, Long Tiger bertindak melarikan diri dari lokap Mahkamah Tangkak, Johor, ketika menghadiri perbicaraan kes mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button