Hantaran kahwin habis terbakar

Melaka: Seorang pemuda berputih mata apabila semua barangan hantaran majlis pernikahannya seperti kasut, tali pinggang dan pakaian pengantin terbakar dalam kebakaran rumah pusaka, di Kampung Ladang, Semabok, di sini, semalam.

Kejadian jam 2.15 petang itu, mangsa, Muhammad Rafiq Abu Samah, 26, dijadualkan bakal menaiki pelamin pada 13 Ogos hadapan.

Muhammad Rafiq berkata, selain itu, semua pakaian ‘bundle’ yang disimpan dalam tiga bilik berserta dokumen perniagaan juga musnah.



“Mungkin ada hikmah atas kejadian ini dan kami reda walaupun tinggal sehelai sepinggang,” katanya.

Katanya, sebelum kejadian, dia menghantar tunangnya ke Ayer Molek selepas habis bekerja kira-kira 7 pagi sebuah kilang di Batu Berendam.

“Ikutkan saya memang nak balik ke rumah pusaka ini. Namun semasa melalui Lebuh AMJ (Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin), saya rasa tidak sedap hati dan terus memandu ke rumah emak saudara di Banda Hilir.

“Saya tertidur kerana kepenatan akibat bekerja syif malam sebelum terkejut apabila dihubungi rakan memaklumkan rumah saya terbakar,” katanya.



Muhammad Rafiq berkata, biasanya setiap hari dia akan pulang ke rumah pusaka itu yang turut didiami adik lelaki Muhammad Syawal Nur Raihan, 24.

Kejadian dipercayai berpunca daripada litar pintas.

Dalam pada itu jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, 17 anggota bersama empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padang Temu, Bukit Katil dan Melaka Tengah dikejarkan ke lokasi untuk memadam kebakaran.

METRO



 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button