Bookie judi cuba edar 96.2kg dadah

Ipoh: Polis menahan seorang lelaki dan merampas 96.2 kilogram (kg) dadah bernilai RM3.5 juta dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Medan Ipoh, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, suspek yang berumur 37 tahun yang juga ‘bookie’ judi itu ditangkap sebelum serbuan ke rumah sewanya dilakukan.

Beliau berkata, pemeriksaan di rumah sewa mendapati terdapat 95 bungkusan plastik berwarna hijau kuning berisi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine.



“Anggaran berat keseluruhan ialah 96.2 kg dan nilai keseluruhan dadah yang dirampas berjumlah RM3.5 juta.

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek adalah negatif dan dia mempunyai satu rekod kesalahan lampau bersabit dadah.

“Dadah yang dirampas disyaki untuk diedarkan di kawasan Ipoh dan Lembah Klang. Jumlah dadah yang dirampas boleh digunakan 120,000 penagih,” katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dekat sini, hari ini.

Menurutnya, polis masih menyiasat kemungkinan suspek terbabit dengan sindiket pengedaran dadah.



Suspek direman selama tujuh hari sehingga 11 Disember depan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button