Dua maut tercampak keluar dari kereta

ISKANDAR PUTERI: Seorang lelaki dan remaja perempuan maut dalam kemalangan jalan raya selepas kenderaan dinaiki hilang kawalan sebelum terbabas berhampiran Stadium Sultan Ibrahim di sini, pada tengah malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Khairi Zainuddin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian itu pada 12.23 tengah malam.

Menurutnya, lapan anggota bomba diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Ishak Noh dengan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri dikejarkan ke lokasi kejadian.



“Setiba di lokasi kejadian, anggota bomba mendapati kedua-dua mangsa iaitu Lee Kah Lok, 19, dan Ng Kui Yang, 15, tercampak keluar dari kereta jenis Honda Civic EJ.

“Mangsa perempuan ditemukan bersebelahan kenderaan manakala mangsa lelaki iaitu pemandu kenderaan didapati tersepit di bawah kereta itu berkenaan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari laluan arah Gelang Patah ke Skudai.

“Kereta berkenaan dipercayai berpusing ketika kejadian dan memasuki laluan bertentangan, namun kemalangan itu tidak membabitkan kenderaan lain,” katanya.



Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mangsa diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya dan operasi tamat pada jam 1.37 pagi ini,” katanya.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button