KPT dukung kelestarian agenda keusahawanan



(Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad melawat gerai-gerai keusahawanan yang dijalankan mahasiswa selepas melancarkan Program KPT Prihatin Keluarga Malaysia: Edisi Keusahawanan di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu, semalam)

 

Oleh Azrin Muhammad

KUALA TERENGGANU – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyambut baik peningkatan aktiviti keusahawanan dalam kalangan mahasiswa dengan melancarkan Program KPT Prihatin Keluarga Malaysia: Edisi Keusahawanan, semalam.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, program berkenaan dilaksana dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang menyediakan klinik keusahawanan dan jaringan perniagaan serta perkongsian pakar dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT).



“Kementerian sentiasa menyokong agenda keusahawanan di kampus bagi melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan pelajar dan graduan, khususnya dengan ilmu pemasaran digital, promosi dan juga literasi perundangan perniagaan.

“Dalam konteks keusahawanan di sektor pendidikan tinggi, sejumlah 93,352 mahasiswa telah menceburkan diri dalam aktiviti keusahawanan atau perniagaan semasa dalam tempoh pengajian pada tahun 2021 iaitu peningkatan sebanyak 35 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Terdahulu, Noraini melancarkan Program KPT Prihatin Keluarga Malaysia: Edisi Keusahawanan di Dewan Sultan Mizan, UMT.

Dalam masa sama, Noraini turut merasmikan Program Kembara Keluarga Simpan SSPN untuk membantu pelajar asnaf dari aspek pendidikan serta galakan awal memulakan penabungan bagi tujuan pendidikan tinggi.



Program berkenaan bermula di Terengganu dan melibatkan lapan kawasan dengan jumlah sumbangan sebanyak RM80,000 tidak termasuk 100 orang asnaf yang menerima sumbangan akaun Simpanan SSPN Prime bernilai RM100 setiap seorang.

Turut hadir, Pengerusi SME Corporation Malaysia, Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee dan Pengerusi Ketengah, Datuk Seri Dr. Ahmad Said.

Sementara itu, Noraini menambah, pihaknya akan sentiasa mencari jalan membantu mahasiswa yang berminat dengan aktiviti keusahawanan khususnya selepas mendapati 9,131 atau 9.78 peratus daripada 93,352 mahasiswa meneruskan aktiviti keusahawanan selepas bergraduat.

 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker