Dokumentari ‘The First 100 Days of War’ cetus kepiluan pada sesi tayangan

KUALA LUMPUR – Suasana pilu menyelubungi sesi tayangan filem dokumentari The First 100 Days of War in Ukraine sempena sambutan ulang tahun ke-31 kemerdekaan negara itu dan 200 hari tercetusnya konflik Russia-Ukraine, di ibu negara, baru-baru ini.

BH yang diundang menghadiri sesi tayangan eksklusif itu mendapati ramai tetamu termasuk diplomat, pegawai dagang, rakyat Ukraine dan Poland yang menetap di Malaysia serta jemputan lain gagal menahan sebak menonton filem dokumentari berdurasi 40 minit itu.

Sesi tayangan filem dokumentari mengangkat konflik Russia-Ukraine yang membawa kepada peperangan itu dianjurkan Kedutaan Ukraine dan Kedutaan Poland di Malaysia serta Persatuan Kebudayaan Ukraine di sebuah premis acara di ibu negara, Khamis lalu.



Selain tayangan filem dokumentari, pameran lukisan yang dihasilkan kanak-kanak bertemakan konflik di Ukraine, iaitu Mom, I don’t Want War! 1939-1945 Poland/2022 Ukraine turut dianjurkan.

Acara itu dihadiri Kaunselor Ukraine, Denys Mykhailiuk dan Duta Besar Poland ke Malaysia, Krzysztof Debnicki.

Hati mana tidak tersentuh apabila melihat tanah air tercinta yang suatu ketika dahulu memiliki panorama indah dan harmoni, kini ibarat padang jarak padang terkukur akibat peperangan.

Pada sesi tayangan filem dokumentari itu, Mykhailiuk cukup terkesan hingga dilihat menitiskan air mata dan terpaksa ditenangkan sahabatnya.



Berkongsi perasaan selepas menyaksikan filem dokumentari itu, Mykhailiuk memberitahu, naskhah sentuhan pengarah filem yang juga wartawan, Toma Chagelishvili cukup menggambarkan kesengsaraan dan penderitaan penduduk Ukraine akibat kekejaman tentera Russia.

“Apa yang dipaparkan dalam dokumentari ini adalah kejadian sebenar yang dirakam selepas 100 hari peperangan tercetus. Semua insiden itu dirakam kakitangan sebuah stesen penyiaran di Georgia, Rustavi-2 yang kebetulan berada di beberapa bandar di Ukraine.

“Sebagai rakyat Ukraine yang berada di luar negara, menonton kejadian pada 24 Februari itu sangat menyedihkan,” katanya.

Mykhailiuk mengakui hatinya luluh melihat kesan pencerobohan tentera Russia di Ukraine.



“Banyak nyawa tidak berdosa melayang. Kanak-kanak dan orang tua dibunuh tanpa belas kasihan, manakala wanita menjadi mangsa perkosaan.

“Filem dokumentari ini adalah bukti kekejaman dan tidak perikemanusiaan Russia terhadap negara kami,” katanya.

Biarpun dilanda kemusnahan fizikal dan infrastruktur yang teruk serta perlu mengambil masa lama untuk memulihkan keadaan, Mykhailiuk percaya dengan sokongan rakyat, Ukraine akan kembali bangkit.

“Biarpun banyak kemusnahan harta benda dan infrastruktur berlaku akibat serangan dan wujud trauma dalam kalangan mangsa kezaliman, semua ini tidak membuatkan kami menyerah kalah.



“Kita akan sama-sama membina kembali negara yang dicintai ini. Kami tidak akan sesekali membiarkan mereka mengubah sejarah yang sudah dicipta selama ini,” katanya.

Julung kali ditayangkan di pawagam di Georgia, Julai lalu sempena ulang tahun ke-30 hubungan diplomatik negara itu dan Ukraine, filem dokumentari The First 100 Days of War in Ukraine antara lain memaparkan pengalaman ngeri dan pilu mangsa peperangan.

© Berita Harian




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading