Pulau Pinang mungkin enggan bubar DUN jika PRU dalam musim hujan



GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang mungkin tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan pada musim monsun.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ini kerana musim monsun amat berisiko serta berbahaya kepada pengundi memandangkan diramalkan berlaku hujan lebat dan banjir ketika itu.

“Kalau bukan musim monsun itu lain cerita, kalau musim monsun kita mungkin tidak ikut (pilihan raya) sebab ia berisiko tinggi,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sebelum ini, ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pemuda BN di Stadium Titiwangsa Kuala Lumpur, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, jentera parti itu sanggup meredah banjir dan hujan lebat jika PRU-15 diadakan pada tahun ini.



Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menyifatkan, isyarat diberikan ahli parti supaya PRU-15 diadakan dalam masa terdekat adalah jelas dan nyata.

Menurut Kon Yeow, Kerajaan Pusat perlu mengambil kira suara-suara yang menolak PRU-15 diadakan ketika musim monsun memandangkan proses pengundian serta perjalanan kempen pilihan raya amat tidak sesuai dijalankan ketika musim berkenaan.

“Apa akan jadi kepada proses kempen dan pengundian sekiranya berlaku banjir ketika itu.

“Sebagai contoh jika berlaku banjir di pusat pengundian bagaimana dengan pengundi, bagaimana mereka mahu keluar mengundi ketika banjir berlaku.



”Bagaimana pula dengan nasib petugas-petugas dan sekiranya banjir apa akan berlaku kepada peti undi,” katanya.

Kon Yeow menambah, sekiranya banjir berlaku ketika waktu mengundi sudah tentu peratusan pengundi akan turut rendah.

”Bolehkah negara ini dipanggil lagi negara demokrasi sekiranya hal-hal seperti ini (mengundi ketika monsun) tidak diambil kira oleh kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu Kon Yeow menambah, sekiranya Barisan Nasional (BN) tetap mahu mengadakan PRU-15 ketika musim monsun, beliau yakin pengundi pasti menolak BN.



”Hanya sedikit yang boleh keluar pengundi ketika monsun dan mereka yang keluar itu juga akan mengundi menolak BN,” katanya.

© Utusan Online 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker