‘Suami dah sedar, anak-anak tak sabar jumpa papa mereka…’

Oleh – Syeikh Baran


'Suami dah sedar, anak-anak tak sabar jumpa papa mereka...'
Muhammmad Nur Hadith Zaini yang parah ditembak di KLIA mula sedar dan semakin pulih.

Dua anak kepada Muhammmad Nur Hadith Zaini, pengawal peribadi yang parah akibat terkena tembakan ketika melindungi majikannya dalam insiden di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 Ahad lalu, sudah tidak sabar bertemu bapa mereka selepas dimaklumkan mengenai perkembangan positif oleh ibu mereka.

Siti Noraida Hassan yang juga isteri kepada Muhammmad Nur Hadith,38, berkata ketika ini dua daripada tiga anak mereka hanya dapat berhubung dengan bapa mereka melalui panggilan video.



“Anak-anak gembira dan sedih, nak jumpa papa mereka tetapi saya belum bawa lagi. Hanya berhubung melalui panggilan video saja buat masa ini.

“Mungkin selepas papa mereka ditukar ke wad biasa, baru saya bawa (anak-anak) untuk berjumpa,” katanya yang dikurniakan tiga anak berusia antara tiga, 10 dan 13 tahun, hasil perkahwinan dengan Muhammmad Nur Hadith.

Siti Noraida berkata, beliau dan beberapa waris terdekat, dibenarkan melawat sejak suaminya dimasukkan ke Hospital Cyberjaya untuk menerima rawatan.

“Saya dan waris terdekat memang boleh melawat sejak hari pertama lagi, cuma anak-anak saja tidak dibenarkan,” katanya



Semalam, pihak hospital dilaporkan menghentikan pemakaian alat bantuan pernafasan apabila Muhammmad Nur Hadith sudah mula sedar dan semakin pulih.

Siti Noraida turut dilaporkan berkata, suaminya sudah boleh bercakap sedikit dan bertanyakan mengenai keluarga serta anak-anak, walaupun masih lemah.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 1.30 pagi 14 April lalu, seorang lelaki melepaskan dua das tembakan dan satu daripadanya terkena Muhammad Nur Hadith yang juga pengawal peribadi isteri suspek.

Susulan itu, suspek ditahan di Kota Bharu, Kelantan pada 15 April lalu dan direman bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Sekyen 8 Akta Senjata 1960. – BERNAMA



Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button