Faktor luaran punca harga sawit jatuh mendadak bulan lalu

KUALA LUMPUR: Faktor luaran adalah punca harga niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) jatuh 19 peratus ke tahap terendah dalam tempoh tiga minggu RM3,512 satu tan pada 24 Mac lalu sebelum pulih sedikit kepada paras semasa iaitu RM3,794 satu tan, demikian menurut RHB Investment Bank Bhd.

“Kami percaya penurunan ini terutamanya disebabkan oleh faktor-faktor luaran iaitu krisis perbankan di Amerika Syarikat (AS), nilai mata wang dolar AS yang lemah, dan kelemahan harga komoditi dunia termasuk minyak mentah, minyak kacang soya and minyak biji sesawi,” kata bank pelaburan itu dalam satu nota penyelidikan disediakan oleh penganalisis, Hoe Lee Leng dan Syahril Hanafiah.

RHB Investment Bank berkata, harga minyak mentah merosot 13 peratus dalam tempoh sama berbanding tahun lalu, manakala harga minyak kacang soya dan minyak biji sesawi masing-masing jatuh 12 peratus dan 14 peratus.



“Walaupun masih ada kegusaran mengenai kemelesetan ekonomi dunia, kerajaan AS sedang meyakinkan orang awam bahawa ia sedang mengambil langkah-langkah untuk berlindung daripada berlakunya krisis perbankan lanjut,” katanya.

Bank pelaburan itu menambah, meskipun risiko positif telah menyederhana, masih terdapat faktor-faktor

sokongan yang dapat mengekalkan harga MSM pada tahap stabil.

Ia berkata, faktor sokongan terbabit termasuklah ketidaktentuan cuaca kerana adanya risiko El Nino akan kembali pada suku ketiga dan suku keempat tahun ini.



Di samping itu, katanya terdapat faktor ketersediaan baja dari Russia dan kesan kekurangan baja

pada tanaman di Malaysia akibat kekurangan buruh.

“Pembukaan semula sempadan China dan kenaikan dalam mandat biodiesel, memandangkan

Indonesia sudah beralih kepada B35, serta berhasrat untuk menaikkan kepada B40 pada 2024,” katanya.



RHB Investment Bank berkata, di sebalik faktor yang menyokong kestabilan harga MSM, terdapat juga beberapa isu menyelubungi komoditi itu antaranya perbezaan minyak sawit dan minyak gas (POGO) masih negatif, menyebabkan ketiadaan permintaan bagi biodiesel pilihan.

Selain itu, ia berkata syarikat pengimport mempunyai stok minyak sawit yang besar sehingga mungkin

menjejaskan permintaan dalam jangka dekat.

“Perbezaan harga minyak sawit-minyak kacang soya telah menguncup, dan hal ini menjadikan minyak sawit tidak menarik seperti dahulu.



“Manakala, undang-undang rantai bekalan bebas penyahhutanan di Kesatuan Eropah (EU) boleh menjejaskan permintaan dari rantau itu mulai 2024,” katanya.

Bank pelaburan itu berkata, stok minyak Malaysia menyusut 21.1 peratus, manakala eksport melonjak 31.8 peratus pada Mac lalu berbanding bulan sebelumnya.

“Kami menjangka paras stok minyak sawit akan terus menurun pada April memandangkan

pengeluaran mungkin terjejas oleh perayaan Aidilfitri, manakala eksport dapat terus menerima manfaat daripada penangguhan kuota eksport Indonesia yang akan berlangsung sehingga akhir April,” katanya.



RHB Investment Bank mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap sektor perladangan dengan pilihan utama saham adalah Kuala Lumpur Kepong (KLK), IOI Corp dan Wilmar International.

“Secara keseluruhan, kami terus menjangka harga MSM akan kekal terikat pada julat antara RM3,500 hingga RM4,500 setiap tan sepanjang 2023, dengan purata RM3,900 satu tan,” katanya.

BHOnline




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading