Dua individu meninggal dunia di pusat mengundi



JOHOR BAHRU: Hasrat untuk menjadi sebahagian penentu masa depan negara tidak kesampaian apabila seorang warga emas menemui ajal di pusat mengundi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lit Terk, Paloh pada Sabtu.
Kejadian itu berlaku pada jam 10.21 pagi melibatkan mangsa, Tuminah Ambiah, 85 yang meninggal dunia sebelum sempat menunaikan tanggungjawab.
Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Johor dalam satu kenyataan berkata, mangsa ketika itu sedang menunggu giliran di saluran satu.
“Kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di tempat kejadian mengesahkan kematian warga emas itu,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Dalam pada itu, seorang lagi pengundi, Sh Juhara, 57, turut berdepan nasib yang sama apabila dilaporkan meninggal dunia di pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail pada jam 9.30 pagi tadi.
Bagaimanapun, mangsa dikatakan sempat mengundi bagi parlimen Pulai sebelum disahkan meninggal dunia.
“Mangsa dilaporkan meninggal dunia selepas mengundi apabila mangsa mengalami sesak nafas.
“Hasil pemerhatian petugas saluran, pengundi hadir ke saluran satu dalam keadaan tidak sihat, tapi ingin meneruskan pengundian,” menurut kenyataan itu lagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat turut mengesahkan kejadian terbabit.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan selain pemeriksaan terhadap mayat mangsa tidak menemui sebarang kesan kecederaan.
“Sh Juhara duduk sebentar dan berjalan kira-kira 100 meter sebelum duduk semula.
“Suaminya meminta bantuan daripada pihak SPR untuk mendapatkan kerusi roda sebelum dia mengambil kereta, namun apabila kembali ke lokasi didapati Sh Juhara sudah tidak bernafas.
“Punca kematian belum dapat dipastikan, namun Sh Juhara mempunyai sejarah penyakit iaitu darah tinggi dan kencing manis.
“Malah, wanita itu turut disyaki mengalami masalah jantung serta masalah paru-paru berair,” katanya.
AWANI


Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker