Ringgit diunjur dalam julat RM4.40 ke RM4.42

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka berada dalam julat antara RM4.40 hingga RM4.42 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) disebabkan faktor ketidaktentuan pasaran yang meningkat.

Kenanga Research dalam nota penyelidikannya berkata, walaupun bacaan inflasi teras AS lebih rendah daripada jangkaan sebanyak 6.0 peratus tahun ke tahun, mata wang tempatan melemah berbanding dolar AS.

Ini terutamanya disebabkan oleh kenyataan Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed), Jerome Powell yang agak tegas selepas bank pusat itu menaikkan lagi kadar faedah sebanyak 50 mata asas pada Rabu, kenaikan kali ketujuh bagi tahun ini.



Tindakan itu sekali gus meletakkan kadar dana persekutuan dalam julat antara 4.25 peratus hingga 4.5 peratus.

Kenanga Research berkata, ringgit turut diseret turun oleh bacaan indeks pengeluaran perindustrian yang lebih lemah daripada jangkaan sebanyak 4.6 peratus tahun ke tahun pada Oktober.

“Ringgit dijangka didagangkan dalam julat ketat ini dengan kecenderungan menaik sedikit berbanding dolar AS kerana indeks dolar AS mungkin terus tertekan di bawah paras 105.0 berikutan bacaan jualan runcit AS yang jauh lebih lemah daripada jangkaan sebanyak -0.6 peratus bulan ke bulan.

“Dalam negara, bacaan dagangan yang lebih kukuh juga mungkin menyokong mata wang tempatan. Bagaimanapun, ringgit mungkin terus didagangkan di atas paras RM4.40 disebabkan oleh paras ketidaktentuan yang tinggi,” katanya.



Sementara itu, Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) berpandangan bahawa keadaan buruk bagi mata wang tempatan itu sudah berakhir dan menjangkakan ringgit akan berada pada purata RM4.34 berbanding dolar AS tahun depan berbanding RM4.40 pada masa ini.

Ringgit dijangka mengakhiri tahun ini pada kira-kira RM4.30 berbanding dolar AS.

Firma penyelidikan itu berkata, ringgit pada tahun ini berada pada trend melemah berbanding dolar AS, dipacu oleh kecenderungan menaikkan kadar faedah oleh Fed di tengah-tengah jangkaan data ekonomi kukuh dan inflasi berterusan negara maju itu.

“Bagaimanapun, masih ada sedikit ketidaktentuan dalam pergerakan tukaran mata wang asing memandangkan inflasi tarikan permintaan kekal tinggi seperti dibuktikan oleh prestasi mantap pasaran pekerjaan.



“Begitupun, ketika Fed terus menaikkan kadar faedah, ini juga dijangka akan melemahkan permintaan domestik di AS dari masa ke masa,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

HLIB menambah, tindakan China melonggarkan sekatan COVID-19 juga mungkin menyebabkan permintaan lebih tinggi bagi komoditi, yang akan merangsang minat terhadap mata wang komoditi dan rakan perdagangannya, termasuk Malaysia.

Mengenai impak terhadap sektor daripada pemulihan ringgit, HLIB berkata daripada perspektif lebih meluas, ia percaya bahawa pemulihan mata wang tempatan itu adalah baik untuk korporat tempatan berikutan ciri domestik bagi kebanyakan perniagaan di negara ini.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button