Keluarkan RM1 juta, Syed Saddiq bertindak demi kepentingan ARMADA

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan bekas Penolong Bendahari ARMADA BERSATU, Rafiq Hakim Razali, bertindak demi kepentingan sayap parti itu dan tanggungjawab mengikut perlembagaan parti.

Peguam bela Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar, Gobind Singh Deo, berkata fakta yang tidak boleh dipertikaikan bahawa RM1 juta dikeluarkan daripada akaun CIMB ARMADA sebagai bantuan COVID-19, Ramadan, raya dan kebajikan.

Perkara 4.2 Peraturan ARMADA menyatakan bahawa tujuan penubuhan sayap parti itu bagi menganjurkan aktiviti untuk mencapai tujuan dan matlamat BERSATU.



Objektif penubuhan parti mengikut Perkara 6.10 Perlembagaan BERSATU pula termasuk memperjuangkan keadilan sosial, mengagih kekayaan negara secara adil dan saksama, selain membela kebajikan rakyat dan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan agama.

“Apabila RM1 juta dikeluarkan pada 6 Mac 2020, terdapat sejumlah RM1.8 juta tersedia dalam akaun itu antara lain memenuhi tujuan dan objektifnya.

“Pada masa itu, negara dilanda penularan wabak COVID-19 yang menyebabkan kesusahan teruk kepada rakyat seawal Januari 2020. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac 2020.

“PKP membawa kepada perintah berkurung yang memberi kesan kepada kehidupan orang ramai daripada segi kesihatan dan ekonomi,” katanya ketika berhujah di akhir kes pembelaan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid, hari ini.



Pada 22 Februari lalu, Syed Saddiq mula membela diri atas empat pertuduhan termasuk bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dana RM1 juta dan melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu, selepas diperintahkan mahkamah pada 28 Oktober tahun lalu.

Azhar membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) terbabit.

Antara saksi yang dipanggil memberikan keterangan bagi pihak Ahli Parlimen Muar itu adalah bekas pegawai khasnya, Mohamed Amshar Aziz dan Siti Nurul Hidayah, selain bekas Ketua Penerangan ARMADA, Ulya Aqamah Husamudin.

Pada 27 September tahun lalu, pendakwaan menutup kesnya selepas 30 saksi termasuk ibu bapa Syed Saddiq, Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz dan Syed Abdul Rahman Abdullah Asagoff, selesai memberi keterangan dalam perbicaraan bermula 21 Jun tahun sama.



Selain pertuduhan bersubahat dengan Rafiq Hakim, Syed Saddiq, 31, didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri, iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang terbabit.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang, masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun ASB miliknya, hasil aktiviti haram.

Gobind berkata, tiada beban diletakkan kepada Syed Saddiq untuk membuktikan dirinya tidak bersalah, sebaliknya pendakwaan yang perlu menanggung perkara itu dengan membuktikan kes tertuduh melampaui keraguan munasabah sepanjang perbicaraan.

“Walaupun mahkamah memutuskan bahawa terdapat kes prima facie terhadap tertuduh, Seksyen 182A Kanun Tatacara Jenayah (CPC) memberi mandat supaya pembuktian oleh pendakwaan dinilai semula susulan pembelaan yang dibuat.



“Dalam erti kata lain, kini menjadi tanggungjawab mahkamah untuk meneliti bukti secara menyeluruh untuk menentukan sama ada terdapat keraguan munasabah yang membawa kepada pembebasan Syed Saddiq atas semua pertuduhan,” katanya.

Hakim kemudian menangguhkan prosiding ke esok untuk hujahan pihak pendakwaan.


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading