Lelaki kenakan bayaran jika mahu jumpa Tuhan

Cape Town: Sanggup ‘menunggang agama’ demi mendapatkan wang dengan mudah.

Itu taktik seorang paderi di Afrika Selatan yang menawarkan orang ramai dengan perkara karut seperti melihat Tuhan dan masa depan dengan mengenakan bayaran mahal.

Dalam poster Persidangan Ibadahnya, MS Budeli mendakwa dia boleh membantu sesiapa sahaja yang ingin melihat keajaiban itu tanpa menunggu saat meninggal dunia, asalkan mereka membayar yuran.



Selain dapat melihat Tuhan, dakwanya, dia juga mempunyai kuasa membantu orang ramai melihat masa depan dan membatalkan semua hutang kewangan mereka.

MS Budeli dijadualkan menganjurkan Persidangan Ibadah pada 25 Disember ini.

Dia bakal membaca khutbah, doa serta ibadah khas lain yang perlu dibayar dengan harga yang mahal.

Sebagai contoh, untuk ‘melihat Tuhan di Syurga’, orang ramai perlu membayar AS$1,160 (RM5,144.02) dan jika mahu semua hutang dibatalkan, mereka perlu mengeluarkan AS$290 (RM1,286).



Selain itu, bagi mereka yang ingin berkahwin segera, perlu membayar AS$580 (RM2,572.01) dan melihat masa depan dalam telefon pintar pula jumlah berganda kepada AS$1,160 (RM5,144.02).

MS Budeli juga mengenakan bayaran AS$17,400 (RM77,160.30) kepada orang ramai untuk menang dalam permainan perjudian dalam talian yang popular, Aviator Game.

Iklan poster terbabit meraih perhatian meluas di media sosial dengan ada antara netizen berharap orang ramai tidak terpedaya dengan penipuan seumpama itu.

“Selamat maju jaya kepada mereka yang akan terperangkap dengan perkara karut ini,” kata seorang netizen.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button