Bursa Malaysia naik sedikit awal dagangan pagi ini



KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meningkat sedikit dalam dagangan awal hari ini meskipun dibuka dengan sentimen lemah.

Pada 9.29 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 0.40 mata kepada 1,475.08 daripada 1,474.68 pada penutupan Jumaat.

Saham pandu pasaran dibuka rendah 0.29 mata kepada 1,474.39.

Di pasaran lebih meluas menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 255 berbanding 211, manakala 298 kaunter tidak berubah, 1,506 tidak diniagakan dan 12 lain digantung dagangannya.



Jumlah dagangan sebanyak 456.55 juta unit bernilai RM192.39 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata. pasaran saham Amerika Syarikat (AS) meningkat lebih tinggi pada Jumaat berikutan pelabur meramalkan kenaikan kadar AS akan reda selepas data inflasi November memaparkan isyarat yang sederhana bagi harga.

Firma pembrokeran itu berkata, peningkatan di Wall Street mungkin turut melanda pasaran tempatan, namun kenaikan itu mungkin dikekang di tengah-tengah kebimbangan mengenai kesan penularan baharu COVID-19 di China.

Dari segi komoditi, harga minyak mentah Brent melonjak melebihi paras AS$83 setong disebabkan bekalan AS yang terhad, manakala harga minyak sawit mentah bergerak melepasi RM3,800.



“Kami yakin harga minyak mentah Brent akan kekal positif melebihi paras sokongan AS$80 dalam masa terdekat berikutan langkah mengurangkan pengeluaran oleh Pertubuhan Negara Pengeluar Petroleum dan sekutunya (OPEC+) serta Rusia,” katanya dalam nota penyelidikan.

Ia juga mengunjurkan sentimen positif dalam jangka pendek bagi sektor teknologi dengan peningkatan di Nasdaq.

Di dalam negara, saham wajaran tinggi Bursa Malaysia, Maybank susut satu sen kepada RM8.77, Public Bank rendah empat sen kepada RM4.40 dan Petronas Chemicals susut enam sen kepada RM8.34.

Sime Darby Plantation meningkat tujuh sen kepada RM4.42, Digi naik empat sen kepada RM3.88 dan Press Metal menokok lima sen kepada RM4.73.



Bagi saham aktif, Borneo Oil dan Industronics masing-masing tidak berubah pada 2.5 sen dan sembilan sen, manakala Top Glove menokok 5.5 sen kepada 87.5 sen dan Berjaya Corporation naik dua sen kepada 30.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 19.12 mata kepada 10,608.41, Indeks FBM Emas Syariah menokok 49.22 mata kepada 10,756.94, Indeks FBM 70 menokok 78.14 mata kepada 13,059.75 dan Indeks FBMT 100 meraih 16.12 mata kepada 10,317.31.

Bagaimanapun, Indeks FBM ACE susut 34.84 mata kepada 5,445.83.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.15 mata kepada 179.07 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 65.17 mata kepada 16,558.86, manakala Indeks Perladangan menambah 27.62 mata kepada 6,812.85 dan Indeks Tenaga naik 3.46 mata kepada 785.21.



BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker