Rentas Thailand demi ‘kekasih’ TikTok

Bangkok: Lelaki di Thailand sanggup mengembara dengan berjalan kaki sejauh 1,200 batu (kira-kira 1,900 kilometer) demi melamar kekasihnya yang dikenali menerusi TikTok.

Pengembaraan lelaki yang tidak dinamakan itu sebagai mencapai impiannya untuk melamar wanita yang tidak pernah ditemukan secara peribadi, sebelum sambutan Hari Kekasih.

Meskipun tidak pernah bertemu secara langsung, mereka dikatakan sudah menjalin hubungan selama lima bulan.



Menerusi perkongsian video di TikTok, lelaki itu memulakan pengembaraan dari rumahnya di Nakhon Nayok di timur laut Thailand, dan berharap boleh tiba di Satun di selatan Thailand, menjelang 15 Februari ini.

Lelaki itu memberitahu bersedia mengembara lebih 1,000 batu (lebih 1,6000 kilometer) untuk membuktikan cinta sejati kepada wanita yang tidak pernah ditemuinya itu.

“Saya akan membuktikan cinta sejati wujud atau sebaliknya. Saya akan mengembara selama sebulan bermula 14 Januari dan dijangka tiba ke destinasi pada 14 Februari iaitu Hari Kekasih.

“Titik permulaan di Empangan Khun Dan Prakarn Chon di Nakhon Nayok dan destinasi terakhir di Satun.



“Kami ‘bertemu’ di TikTok dan saya akan membuktikan bahawa cinta sejati boleh ditemukan di media sosial,” katanya.

Lelaki itu sentiasa menyiarkan kemas kini dari TikToknya dan pada hari ketiga mengadu berasa letih.

Dia yang mengenakan pakaian khusus untuk pengembaraannya dan bercermin mata hitam itu turut memberitahu menukar pengembaraannya pada waktu malam kerana jalan raya terlalu sibuk pada waktu siang.

Thaiger melaporkan, lelaki itu sudah menempuh perjalanan sejauh 528 batu (kira-kira 849 kilometer), iaitu separuh daripada perjalanannya.



Bagaimanapun, dalam video terbaharu, lelaki itu tidak pasti apa difikirkan teman wanitanya mengenai pengembaraan berkenaan.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button