Popia Goreng Bersira Pedas
Resepi Popia Goreng Bersira Pedas, ada yang panggil kuih ni popia goreng sambal ataupun popia goreng bercili. Kuih ni memang sangat sedap dan tak jemu di makan. Bahan-bahan untuk menyediakan popia ini juga sangat lah mudah dan cuma memerlukan kerajinan yang tinggi untuk balut setiap satu popia dan sediakan sambal sira nya.
Untuk inti popia, anda boleh gunakan sayur-sayur lain sebagai ganti. Contohnya ready made mixed vege (jagung, kacang pis dan karot), lobak putih ataupun kacang panjang. Boleh juga digantikan dengan udang segar, isi ayam atau isi daging, tak ada masalah. Resepi ini boleh dijadikan sebangai panduan dan anda boleh ubahsuai mengikut selera masing-masing. Selamat mencuba. Sebarang pertanyaan boleh tinggalkan di bahagian komen, Che Nom akan cuba menjawab.
Untuk panduan lanjut resepi sila lihat video Youtube Che Nom ini : https://youtu.be/W6KiaTYn0XE.
Bahan-bahan:
- Kulit popia secukupnya
- Bahan untuk lekatkan kulit popia:
- 2 sudu besar tepung gandum
- sedikit air
- Bahan untuk inti popia:
- 2 ulas bawang putih, cincang halus
- 1 biji sengkuang, potong memanjang
- 1 batang karot, parut kasar
- sedikit biji kobis, cincang kasar
- sedikit taugeh
- 1 biji bawang besar, hiris halus
- 1 sudu besar sos tiram
- 2 sudu besar udang kering, tumbuk halus
- gula dan garam secukup rasa
- Bahan untuk sos sira pedas:
- 2-3 sudu besar minyak masak
- 1 ulas bawang putih, tumbuk halus
- 1 ulas bawang merah, tumbuk halus
- 2 sudu besar cili kisar
- 3 sudu besar sos cili
- 2 sudu besar gula
- 1 sudu besar cuka makan
- sedikit garam
- bijan, disangai atau goreng tanpa minyak
Cara Penyediaan:
- Cara-cara untuk tepung gam:
- Bancuh tepung bersama air sedikit demi sedikit sehingga menjadi pes yang pekat.
- Cara-cara untuk popia:
- Ambil sekeping kulit popia. Sudukan inti popia dan balut dengan kemas.
- Gamkan bahagian hujung lipatan dengan bancuhan tepung/gam.
- Goreng sehingga kekuningan dan rangup. Angkat dan ketepikan.
- Cara-cara untuk popia sos sira pedas:
- Panaskan minyak dan tumis bawang putih dan bawang merah yang ditumbuk halus sehingga kekuningan.
- Masukkan cili kisar dan masak seketika sehingga pecah minyak.
- Masukkan sos cili, gula dan cuka makan. Masak sehingga kuah pekat dan perasakan dengan garam secukupnya.
- Apabila sos sudah masak, tuang popia goreng di dalam kuali dan kacau sos sehingga menyaluti semua permukaan popia. Pastikan popia digaul dengan cepat.
- Angkat dan susun di atas pinggan. Taburkan dengan bijan untuk hiasan.
Tip:
- Popia harus digoreng dengan minyak panas di api sederhana supaya kulitnya masak sekata, kekuningan dan rangup.
- Pastikan juga sos sira masak dengan sempurna dan pekat sebelum digaul kerana jika sos sira cair, popia akan mudah menjadi lembik apabila digaul kemudian nanti. Kalau tak ada cuka makan, boleh gunakan air asam jawa sebagai ganti.
Popia Goreng Bersira Pedas
DISYORKAN UNTUK ANDA :
LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :