Saman Anwar: Yusoff Rawther tarik balik rayuan batal perenggan pernyataan pembelaan

Putrajaya: Bekas pembantu penyelidik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhammed Yusoff Rawther menarik balik rayuannya untuk membatalkan beberapa perenggan dalam pernyataan pembelaan berhubung saman yang difailkan terhadap perdana menteri itu.

Muhammed Yusoff selaku plaintif memfailkan saman itu terhadap Anwar (defendan) pada 14 Julai 2021 berhubung dakwaan berlaku serangan seksual terhadapnya di kediaman Anwar di Segambut lima tahun lalu.

Dalam prosiding hari ini, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Lee Swee Seng yang bersidang bersama-sama Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Lim Chong Fong sehubungan itu membatalkan rayuan berkenaan dengan kos RM5,000.



Prosiding hari ini sepatutnya mendengar rayuan Muhammed Yusoff terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan beliau untuk membatalkan beberapa perenggan dalam pembelaan Anwar.

Melalui prosiding dijalankan secara dalam talian itu, Muhammed Yusoff diwakili peguam Reenajit Kaur Golen, manakala peguam Navpreet Singh bertindak bagi pihak Anwar.

Terdahulu, Navpreet memberitahu panel, pihaknya memohon kos sebanyak RM5,000 kerana Muhammed Yusoff selaku perayu menarik balik rayuan tanpa perkembangan baharu, yang bermakna beliau bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi.

Katanya, perayu memaklumkan untuk menarik balik rayuan melalui surat bertarikh pada 7 Mac lalu, iaitu sebulan sebelum perbicaraan dan dua hari sebelum tarikh pemfailan hujahan dan dalam garis masa itu, anak guamnya terpaksa menanggung beberapa perbelanjaan.

Muhammed Yusoff memfailkan rayuan pada 28 September 2022 selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonannya untuk membatalkan beberapa perenggan dalam pembelaan serta keseluruhan tuntutan balas Ahli Parlimen Tambun itu.



Dalam pernyataan tuntutannya, Muhammed Yusoff mendakwa serangan seksual itu berlaku pada 2 Oktober 2018 di kediaman Anwar di Segambut apabila beliau diminta oleh Setiausaha Sulit Anwar iaitu Shukri Saad untuk menyerahkan sendiri teks ucapan sempena sambutan ulang tahun ke-150 Mahatma Gandhi anjuran Pejabat Pesuruhjaya Tinggi India kepada defendan.

Muhammed Yusoff, yang meletak jawatan pada 24 Jun 2019 berkata, satu laporan polis telah dibuat terhadap Anwar pada 7 Disember 2019, manakala Jabatan Peguam Negara kemudian mengeluarkan kenyataan bahawa tiada bukti yang mencukupi untuk mendakwa Anwar.

Plaintif mendakwa akibat kejadian itu, beliau dituduh berkomplot untuk menjatuh dan merosakkan karier politik defendan selain memberi impak kepada kesihatan mentalnya kerana mendapat kritikan daripada pemimpin yang menyokong Anwar serta orang awam.

Sementara itu Anwar memfailkan tuntutan balas pada September 2021 dengan menyatakan dakwaan salah laku seksual itu ‘palsu dan direka’.



Dalam pernyataan pembelaan dan tuntutan balas itu, Anwar mendakwa bahawa serangan seksual yang didakwa tidak mungkin berlaku kerana pada tarikh berkenaan, beliau melayani keluarga dan rakan di kediamannya di Bukit Segambut.

Sehubungan itu, Anwar menuntut ganti rugi umum, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button