Liverpool akhiri kemarau kemenangan

LEEDS: Liverpool membenam Leeds 6-1 selepas gol kontroversi Cody Gakpo mencetus kemenangan pertama The Reds dalam lima perlawanan Liga Perdana Inggeris.

Skuad kendalian Jurgen Klopp mendahului aksi di Elland Road apabila jaringan Gakpo dibenarkan walaupun bola terkena tangan Trent Alexander-Arnold.

Pegawai VAR dilaporkan tidak memeriksa insiden berkenaan kerana ia berlaku awal dalam gerakan sebelum jaringan Gakpo, dan ia mencetus rasa tidak puas hati pemain-pemain Leeds.



Mohamed Salah menambah derita Leeds apabila menggandakan jaringan empat minit kemudian sebelum Luis Sinisterra merapatkan jurang untuk tuan rumah.

Dua gol Diogo Jota, satu lagi jaringan Salah serta Darwin Nunez memastikan kemarau kemenangan Liverpool berakhir.

Liverpool kini di tangga kelapan, dua mata di belakang Brighton yang menghuni tangga ketujuh Liga Perdana Inggeris.

“Ia perlawanan terbaik kami musim ini dari pelbagai sudut. Bahagian paling menarik bagi saya ialah pada minit ke-92 apabila kami mengasak pemain Leeds. Ia adalah gerakan terbaik,” kata Klopp.



Leeds tewas lagi lapan hari selepas dibelasah 5-1 di laman sendiri oleh Crystal Palace dan hanya berada dua mata di atas zon penyingkiran.

Skuad kendalian Javi Gracia dicemuh penyokong sendiri selepas menjadi kelab kedua yang dibolosi sekurang-kurangnya lima gol dalam dua aksi Liga Perdana Inggeris berturut-turut di laman sendiri.

AFP




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading