Tidak ada pakatan sulit antara UMNO dan PKR

BAYAN BARU – Tiada sebarang kerjasama ataupun pakatan sulit antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan UMNO seperti dakwaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, perkara itu sekadar khabar angin yang sengaja dimainkan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurutnya, PKR kini sedang memberi tumpuan untuk memperkukuhkan gabungan Pakatan Harapan (PH) selain menyemarakkan rasa tanggungjawab orang ramai keluar mengundi bagi memilih pemimpin yang beramanah pada PRU15 kali ini.

“Saya pasti dakwaan itu hanya khabar angin tidak sihat menjelang PRU, namun tumpuan pada masa ini untuk memperkukuhkan gabungan PH selain menumpukan jentera bukan saja di Pulau Pinang tetapi di Perlis serta Kedah untuk berdepan musuh kita.



“Apatah lagi keadaan ini membuatkan kita sedih dan dilema kerana meletakkan antara kita nak undi atau menyelamatkan diri.

“Atas dasar itu bagaimana saya menyokong pihak yang jelas telah membawa kita dalam dilema dan bahaya ini khususnya Presiden UMNO,” katanya ketika ditemui media selepas melancarkan Jelajah Prihatin Deepavali PKR Pulau Pinang di Wisma PKR Pulau Pinang di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Nurul Izzah yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Pulau Pinang, Kedah dan Perlis berkata, pihaknya kini sedang memperkukuhkan jentera melawan tiga musuh iaitu komponen parti dalam Perikatan Nasional (PN).

“Pastinya kita mahukan pengundi sedar dan jelas yang mana madu dan racun.



“Selain itu, PH sudah semestinya akan menampilkan calon yang berwibawa pada PRU15 nanti dan mampu memberi perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat serta negara,” katanya.

Jumaat lalu Sinar Harian melaporkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menuntut Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi penjelasan kepada rakyat berhubung dakwaan mengenai wujudnya perbincangan sulit antara kedua-dua pemimpin itu.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, dakwaan tersebut dinyatakan sendiri ahli Pakatan Harapan (PH) kepadanya di mana ia bagi membentuk kerjasama antara kedua-dua parti itu supaya dapat mengurangkan pertembungan ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, meskipun ia tidak mendapat restu kepimpinan UMNO dan PKR, namun banyak sesi perbincangan telah berjalan.

© Sinar Harian 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker