Pembantu katering dijel, denda

Oleh – Syeikh Baran


Pembantu katering dijel, denda

Seorang pembantu katering didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan melanggar kereta peronda polis di hadapan Masjid Penajis, Kampung Relong di Kota, dekat sini, kira-kira seminggu lalu.



Ismail Abd Rahman, 26 dari Tanjong Kling, Melaka didakwa di hadapan Majistret Kartini Kasran mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam, iaitu dua anggota polis dengan melanggar kenderaan dinaiki mereka, kira-kira jam 11.30 pagi 7 Januari lalu.

Mengikut fakta kes, anggota polis yang menjalankan tugas rondaan cuba menahan kereta Proton Wira dipandu Ismail untuk pemeriksaan, namun tertuduh terus memecut laju ke arah Kampung Relong sebelum berhenti kerana jalan mati.

Selepas berpatah balik, kereta dipandu tertuduh berhadapan kenderaan polis sebelum lelaki terbabit diminta keluar untuk pemeriksaan, namun Ismail terus memecut keretanya meluru ke depan dan merempuh sebelah kiri bahagian hadapan kereta peronda polis.

Tertuduh mengaku bersalah sebelum dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM2,000 atau penjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda.



Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Roslaili Alias.

Sumber – Berita Harian

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button