Lelaki hendap jurugambar wanita diperintah ke Hospital Bahagia

Oleh – Syeikh Baran


Lelaki hendap jurugambar wanita diperintah ke Hospital Bahagia

Mahkamah Majistret di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang bekas perunding pengurusan acara sambilan, iaitu individu pertama didakwa atas pertuduhan menghendap dan diperintah ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.



Majistret Sasha Diana Sabtu memutuskan demikian selepas meneliti keterangan saksi dan ekshibit pihak pendakwaan dan pembelaan dengan tertuduh Mohamad Safiq Rosli, 38, didapati ada melakukan perbuatan sebagaimana dalam pertuduhan.

“Mahkamah mendapati disebabkan akal yang tidak waras, tertuduh tidak mengetahui perbuatannya satu kesalahan yang bertentangan dilakukan kerana keadaan ini di bawah Seksyen 84 kanun keseksaan ‘succesly invoke insanity defence’.

“Oleh itu di bawah peruntukan Seksyen 347 Kanun Tatacara Jenayah, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan. Seterusnya merujuk kepada Seksyen 348 Kanun yang sama, tertuduh dengan ini diperintahkan untuk ditempatkan di bawah tahan selamat di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak dan kes itu akan dilaporkan kepada Sultan Selangor bagi perintah selanjutnya di bawah seksyen yang sama,” katanya.

Terdahulu, pada prosiding pembelaan, Pakar Perunding Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr Ian Lloyd Anthony memberitahu mahkamah pemeriksaan dilakukan beliau ke atas tertuduh mendapati lelaki itu menghidap penyakit Skizofrenia.



Katanya, ini membuatkan tertuduh mengalami khayalan dan halusinasi yang serius dan memerlukan rawatan sewajarnya, iaitu semasa kejadian tertuduh berada dalam keadaan mentaliti yang tidak waras serta tidak sedar perbuatannya itu salah dari segi undang-undang.

“Mereka yang berada dalam delusi ini membayangkan seseorang itu mempunyai perasaan cinta padanya dengan dia (tertuduh) juga mempunyai perasaan yang sama. Perkara ini (delusi ini) berlarutan selama lapan tahun tanpa disedari oleh tertuduh,” katanya yang juga satu-satunya saksi pembelaan.

Dalam pada itu, peguam pemerhati kepada Acacia Mardiana, 31, Jason Wee ketika membacakan kenyataan impak mangsa untuk pertimbangan mahkamah sebelum hukuman dijatuhkan memaklumkan anak guamnya diganggu oleh lelaki yang sama sejak berusia 23 tahun dengan tertuduh juga membuat 30 akaun media sosial untuk menganggu mangsa.

“Dalam tempoh lapan tahun ini, saya kehilangan rakan-rakan kerana takut untuk bersosial, hilang peluang pekerjaan dan pendapatan di media sosial sebab saya takut untuk membuat hantaran berkenaan lokasi (pekerjaan) serta produk.



“Dia juga menggunakan wang untuk melancong serta menghabiskan masa berbulan di United Kingdom hanya untuk mencari saya. Selama lapan tahun saya, menangis meminta bantuan. Saya berputus asa dan merasakan diri seperti ‘dibunuh’ kerana tahu dia (tertuduh) sangat taasub kepada saya dan tidak akan berhenti mencari saya,” katanya.

Berdasarkan pertuduhan, Mohamad Safiq didakwa menggunakan akaun ‘@sopert99’ secara berulang mengganggu mangsa, Acacia Mardiana Daud, 31, di akaun ‘@ShaFoShizzle’.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas dan Analia Kamaruddin yang mengemuka dua saksi, manakala tertuduh memilih berdiam diri dengan diwakili Peguam Fithril Hakim Ab Jalil.

Sumber – Berita Harian




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading