Luqman Hakim rindu juadah raya ibu

Kuala Lumpur: Sambutan Aidilfitri di Iceland pastinya tidak semeriah di tanah air buat penyerang sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin ketika ini.

Dia yang kini beraksi bersama FC Njardvik di Liga Iceland mengakui amat merindui masakan air tangan ibunya setiap kali tiba Syawal.

Jelas Luqman, ini adalah tahun ketiganya tidak dapat beraya bersama keluarga tersayang dan dia berharap akan dapat menyambutnya pada Hari Raya tahun depan.



“Bila sebut pasal Raya (Hari Raya), satu perkataan terlintas di fikiran saya adalah semua masakan mak saya.

“Ini adalah tahun ketiga saya tak beraya bersama keluarga tercinta saya. Jadi saya harap tahun akan dapat bersama tahun depan dan raya seterusnya bersama keluarga saya InsyaAllah.

“Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada seluruh rakyat Malaysia dan seluruh keluarga saya tercinta,” katanya di laman sosial.

Terdahulu, Luqman mencipta sensasi beberapa jam sebelum Aidilfitri pada Jumaat lalu, apabila dia meledak gol pertama ketika membantu FC Njardvik menang 4-1 ke atas KFA pada aksi kalah mati peringkat 32 terbaik dalam saingan Piala Iceland.



Gol hasil tandukannya itu bukan saja menyaksikan dia membuka akaun jaringan secara rasmi di Liga Iceland, malah lebih manis ia dilakukan sehari sebelum perayaan Aidilfitri.

Sehari selepas kemenangan itu, Luqman menunaikan solat sunat Aidilfitri di negara sejuk itu bersama rakan-rakan Muslim yang lain.

Kejayaan Luqman membantu kelabnya meraih kemenangan itu pastinya menyuntik moral dan semangatnya untuk beraksi lebih baik selepas ini.

Kemenangan besar ini sekali gus membawa pasukan ke peringkat 16 terbaik di kejohanan itu.



Untuk rekod, tonggak berusia 20 tahun itu kini dipinjamkan ke FC Njardvik selama satu musim dari KV Kortrijk dari Belgium untuk mendapatkan minit permainan.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button