Perhutanan Kelantan tahan penceroboh HSK Ulu Galas

22/01/2021 02:35 AM

KOTA BHARU, 21 Jan — Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) menahan seorang lelaki tempatan yang juga peniaga kenderaan terpakai di Kuala Lumpur kerana mengupah dua warga Myanmar untuk projek penanaman pisang dan durian di Hutan Simpan Kekal (HSK) Ulu Galas dalam Op Bersepadu Khazanah, Isnin lepas.

Pengarah JPNK Abdul Khalim Abu Samah berkata, penahanan itu dilakukan selepas pemeriksaan yang dilakukan di Kompartmen 21 HSK Ulu Galas pada 4 petang itu mendapati ada aktiviti penerokaan secara haram dilakukan di situ termasuk meracun dan pembakaran.



Menurutnya, ketika serbuan dilakukan didapati dua lelaki Myanmar yang juga pemegang kad UNHCR itu mengaku diupah menjalankan aktiviti penanaman di situ oleh majikannya.

“Pemeriksaan di kawasan itu mendapati sudah berlaku pencerobohan malah ada kesan pembakaran, meracun dan penanaman pokok secara haram yang membahayakan kawasan HSK.

“Kita juga mendapati ada rumah kongsi didirikan di situ sebagai tempat tinggal dua pekerja berkenaan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Katanya, majikan berumur 34 tahun berasal dari Johor itu ditahan ketika hadir ke pejabat JPNK di sini selepas soal siasat dijalankan ke atas dua pekerjanya itu.



Bagaimanapun, Abdul Khalim berkata lelaki itu (majikan) dibebaskan dengan bon jaminan polis manakala dua pekerjanya dibebaskan kerana status sebagai pemegang kad pelarian.

Katanya dalam kes itu, majikan (tertuduh) telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 47(1), Seksyen 81(e) dan Seksyen 82(1) Akta Perhutanan Negara 1984 kerana mengarahkan pekerja memasuki HSK secara haram, membersihkan hutan tanpa kebenaran dan pembakaran hutan di HSK.

Dalam perkembangan sama, Abdul Khalim berkata dua lelaki termasuk seorang warga Pakistan telah ditahan pada pukul 3.45 petang, sehari selepas itu ketika pemeriksaan dijalankan di Kompartmen 23, HSK Ulu Galas.

Beliau berkata lelaki tempatan berumur 61 tahun ditahan selepas berada di kawasan HSK dan dipercayai melakukan kerja-kerja penerokaan hutan secara haram selain gagal mengemukakan sebarang dokumen bagi menduduki kawasan HSK.



Seorang warga Pakistan yang berada di situ turut ditahan kerana memasuki kawasan HSK dengan alasan mahu menjalankan perniagaan di kawasan berkenaan.

“Kedua-dua suspek telah ditahan dan dibawa ke IPD Gua Musang untuk siasatan lanjut. Hasil siasatan mendapati kedua-duanya telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 47(1) dan Seksyen 81(1)(e) Enakmen Perhutanan Negara 1985,” katanya.

Serbuan di Ulu Rening: Tidak timbul isu penempatan haram – Polis



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button