Peladang DSR Taiko disenarai di Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR: DSR Taiko Bhd memulakan penampilan sulung yang mantap di Pasaran LEAP Bursa Malaysia Securities Bhd pagi ini, dibuka pada harga 92 sen sesaham, premium 62 sen atau lebih 200 peratus berbanding harga rujukannya sebanyak 30 sen.

Pada loceng pembukaan, syarikat itu yang berpengkhususan dalam spektrum penuh rantaian nilai perniagaan tani durian – menyaksikan kira-kira 130,000 sahamnya didagangkan.

Penyenaraian kumpulan itu adalah yang ke-18 di Bursa Malaysia dan yang keempat di Pasaran LEAP setakat ini.



Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Ng Lian Poh berkata kumpulan itu telah memperoleh hasil kasar sebanyak RM25.75 juta, menjadikan ia dana tertinggi yang diperoleh melalui penyenaraian LEAP setakat ini.

“Dana yang dikumpul kebanyakannya dimanfaatkan untuk pemerolehan bank tanah kebun durian di Bentong.

“Ini akan meningkatkan hasil durian kami yang membolehkan kumpulan itu menerokai pasaran luar negara, manakala penyenaraian pula akan memudahkan kami menceburi pasaran ekuiti untuk mengembangkan bank tanah kami,” katanya.

Beliau seterusnya menjelaskan harga durian bercampur-campur dan berdasarkan lokasi, sambil menambah di Raub dan Bentong, Pahang, harga kebun bagi durian Musang King meningkat kepada RM55 sekilogram (kg) berbanding RM38 sekilogram tahun lalu.



“Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada harga yang lebih tinggi seperti permintaan yang meningkat dan bekalan yang rendah serta cuaca yang tidak baik,” katanya.

DSR Taiko memiliki 33 bidang tanah kebun durian di Raub dan Bentong, dengan agregat tanah seluas 40.08 hektar.

Melalui perkongsian usaha sama dengan Daily Fresh International, syarikat itu telah membangunkan dan mengkomersilkan pelbagai produk berasaskan durian hiliran.

Pada masa ini, produk syarikat itu dijual secara dalam talian dan juga boleh didapati di kedai fizikal seperti kedai-kedai utama D’Masking mereka yang terletak di Bentong dan kompleks beli-belah Lot 10 di Kuala Lumpur, serta Daily Fresh Kiosk terpilih di Malaysia.



Bernama

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button