Wolverhampton pecat Bruno Lage

London: Wolverhampton Wanderers memecat pengurus mereka dari Portugal, Bruno Lage, semalam, selepas permulaan hambar kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Selepas lapan perlawanan awal, kelab itu hanya menang sekali dan kini berada di zon penyingkiran.

Wolves hanya mampu menjaringkan tiga gol setakat ini dan kekalahan 0-2 di West Ham United, Sabtu lalu, adalah kekalahan keempat mereka musim ini dan kini menduduki tempat ke-18 liga dengan enam mata.



Lage, 46, menggantikan Nuno Espirito Santo pada Jun 2021 dan membawa kelab itu ke tempat ke-10 liga, tetapi kemudian prestasi menjunam apabila hanya menang sekali dan tewas sembilan kali dalam 15 aksi terakhir liga.

“Bruno adalah jurulatih yang cemerlang, bekerja keras dan dedikasi, jujur serta baik,” kata pengerusi Wolves, Jeff Shi.

“Sejujurnya, saya tiada kesangsian terhadap kemampuan Bruno dan saya pasti dia akan berjaya di mana-mana saja, tetapi prestasi kelab sejak beberapa bulan lalu bermakna kami tiada pilihan kecuali bertindak.

“Dia dan stafnya senang untuk bekerjasama sepanjang berada di Wolves, jadi agak menyedihkan apabila kami terpaksa membuat keputusan sukar ini.”



Jurulatih skuad remaja, Steve Davis dan James Collins akan membimbing pasukan menjelang kunjungan ke Chelsea untuk perlawanan Sabtu ini.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button