Bursa Malaysia dibuka tinggi sebelum susut

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi pada pagi urus niaga Isnin tetapi turun dalam beberapa minit kemudian berikutan kemunculan kegiatan pengambilan untung sederhana membabitkan saham wajaran tinggi terpilih di tengah-tengah sentimen berhati-hati yang kian ketara dalam pasaran serantau, kata seorang peniaga.

Pada 9.18 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.19 mata menjadi 1,382.28 berbanding 1,382.47 pada penutup dagangan Jumaat.

Indeks penanda aras itu dibuka 1.03 mata lebih tinggi pada 1,383.50.



Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung 249 berbalas 126, manakala 227 kaunter tidak berubah, 1,743 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 200.65 juta unit bernilai RM100.40 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata pada minggu lalu, Wall Street gagal mengekalkan trend tingginya disebabkan aktiviti pengambilan untung, menyaksikan hasil 10 tahun Amerika Syarikat melepasi paras 4.0 peratus kepada 4.02 peratus.

“Purata DJI kerugian 404 mata manakala Nasdaq merosot sebanyak 328 mata. Memandangkan keadaan turun naik yang kian meruncing, kami menjangkakan pasaran serantau akan mendapat tempias dan meramalkan berlakunya tekanan jualan hari ini.



“Di dalam negara, kami mengunjurkan FBM KLCI kekal lesu hari ini dan berada dalam julat 1,375-1,390 hari ini,” katanya kepada Bernama sambil menambah saham teknologi mungkin menghadapi beberapa masalah berdasarkan kejatuhan di Nasdaq Jumaat lalu.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 4.0 sen kepada RM8.49, Public Bank dan CIMB menambah 2.0 sen setiap satu kepada RM4.22 dan RM5.32, manakala Petronas Chemicals susut 10 sen kepada RM8.45 dan IHH Healthcare kekal pada RM5.72.

Bagi saham aktif, Sunview mengukuh 22.5 sen kepada 51.5 sen dan Top Glove meningkat 1.5 sen menjadi 70.5 sen manakala Sapura Energy tidak berubah pada 4.0 sen dan Artroniq susut 3.5 sen menjadi 61 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 12.78 mata menjadi 9,845.54, FBM 70 merosot 50.97 mata untuk mencatatkan paras 11,853.73, Indeks FBMT 100 menguncup 10.72 mata kepada 9,596.74, FBM Emas Syariah kerugian 37.41 mata kepada 9,817.38 dan FBM ACE berkurangan 26.74 mata kepad4,625.36.



Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 32.59 mata kepada 15,906.07, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.31 mata menjadi 168.57, Indeks Perladangan susut 1.66 mata kepada 6,420.21 dan Indeks Tenaga lebih rendah 4.10 mata kepada 664.59.

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button