Russia pertimbang hantar kapal penyelamat untuk kru ISS

WASHINGTON: Russia sedang mempertimbang untuk menghantar kapal angkasa penyelamat ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) bagi membawa pulang tiga anak kapal selepas kapsul Soyuz mengalami kebocoran penyejuk ketika berlabuh di pos orbit. .

Kapal angkasa yang dikenali sebagai MS-22 dikesan mula menyembur penyejuk ke angkasa lepas pada 14 Disember lalu, dengan imej NASA TV menunjukkan zarah putih menyerupai kepingan salji mengalir keluar dari belakang.

Sergei Krikalev, yang mengetuai program penerbangan manusia di Roscosmos Russia, memberitahu pemberita ketika taklimat media dianjurkan agensi angkasa Amerika Syarikat (AS), bahawa kerosakan itu sedang dinilai.



Katanya, sekiranya analisis haba – yang menilai betapa panasnya ia akan masuk ke dalam kabin – menyimpulkan MS-22 tidak sesuai untuk penerbangan kru, maka pelancaran kapsul Soyuz lain tanpa pembabitan kru yang dijadualkan pada pertengahan Mac dari Baikonur Cosmodrome boleh disegerakan.

“Mereka akan melihat pada akhir Februari untuk menghantar kenderaan Soyuz seterusnya,” jelas pengurus program Stesen Angkasa Antarabangsa Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA), Joel Montalbano.

Sekiranya situasi itu berlaku, kapal angkasa yang rosak akan kembali ke bumi tanpa anak kapal.

MS-22 menerbangkan angkasawan Russia, Dmitry Petelin dan Sergey Prokopyev, serta angkasawan NASA, Frank Rubio ke ISS pada September lalu.



Pada masa ini terdapat tujuh orang di ISS, tetapi jika MS-22 dianggap tidak sesuai, ia juga bermakna ISS hanya mempunyai satu sahaja ‘bot penyelamat’ yang mampu membawa empat orang.

Warga AS, Josh Cassada dan Nicole Mann serta Koichi Wakata dari Jepun dan Anna Kikina dari Russia tiba dengan SpaceX Crew Dragon pada Oktober lalu.

Setakat ini, Montalbano berkata, punca kerosakan masih belum jelas namun katanya, ia tidak kelihatan disebabkan fenomena tahunan hujan meteor Geminid, kerana badan kapal itu ditembusi dari arah yang berbeza.

“Kedua-dua pasukan trajektori di Houston dan pasukan trajektori di Moscow mengesahkan ia bukan dari hujan meteor,” katanya.



Jelasnya, ketika ini, lebih banyak kerja diperlukan untuk menentukan sama ada ia disebabkan oleh mikrometeoroid yang berlaku secara semula jadi atau serpihan buatan manusia di orbit atau kegagalan perkakasan.

Kerjasama angkasa lepas kekal antara Moscow dan Washington sejak permulaan serangan Russia di Ukraine dan seterusnya sekatan Barat ke atas Russia.

ISS dilancarkan pada 1998 sewaktu kerjasama AS-Russia susulan peningkatan perlumbaan angkasa lepas ketika Perang Dingin.

AFP




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading