‘Tengku Muda Pahang tak sampai hati nak tengok Faisal’

Oleh –  Syeikh Baran


'Tengku Muda Pahang tak sampai hati nak tengok Faisal'
MOHAMMED Suffian (kanan) ditemu bual selepas melawat Faisal, hari ini.

Kasih dan sayang pemilik Sri Pahang FC, Tengku Muda Tengku Abdul Rahman Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah kepada bintang bola sepak negara, Faisal Halim cukup tebal.

Ia dizahirkan menerusi titah Tengku Abdul Rahman kepada pengurusan Sri Pahang yang menghantar rombongan bagi menziarahi Faisal yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital swasta, di sini, hari ini.



Jelas Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang, beliau hadir bersama dua lagi wakil termasuk Pengerusi kelab, Raja Datuk Seri Shaharuddin Shah Raja Jalil Shah dan pengurus pasukan Tok Gajah, Datuk Dollah Salleh.

“Mengenangkan Mickey atau saudara Faisal Halim yang kami bentuk dari waktu dia umur 17 tahun sehingga satu peringkat yang terbaik sebelum dia berhijrah ke Terengganu.

“Apatah lagi, Tengku Muda sangat menyayangi Mickey sebagai pemain Sri Pahang terdahulu dan menitahkan kami, saya bersama dengan pengurus Sri Pahang FC untuk ziarah sebagai tanda kasih sayang.

“Tengku Muda tak sampai hati nak tengok Mickey, kalau tengok mungkin mencurah air mata. Jadi kami hadir sebagai tanda sokongan dan solidariti serta kekeluargaan sebagai satu keluarga bola sepak,” katanya.



Ujarnya lagi, beliau gembira melihat perkembangan Faisal yang dilihat cukup bersemangat.

“Tapi kami akur kepada keputusan doktor, kita tak boleh bertemu dengan dia. Tapi Alhamdulillah berjumpa dengan isterinya, Wani…dan Wani menceritakan perkembangan Mickey semakin hari semakin baik.

“Itu cukup berita menggembirakan untuk kita dan kebetulan tadi kita ada buat ‘video call’ dengan Faisal dan dapat lihat bagaimana dia ada semangat yang kuat,” katanya.

Kehadiran mereka disambut mesra pengurusan pasukan Selangor.



Difahamkan, kehadiran pengurusan Sri Pahang itu sebagai tanda kekeluargaan dan solidariti komuniti bola sepak tempatan.

Malah, Faisal dan Dollah memiliki hubungan erat apabila pemain kebangsaan itu sebelum pernah dibimbing bekas pemain Harimau Malaya itu.

Pastinya kehadiran rombongan itu menaikkan semangat Faisal yang kini dalam proses pemulihan.

Sumber – HARIAN METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button