Torres bantu Barca menang tipis

Barcelona: Jaringan Ferran Torres berjaya membantu Barcelona bangkit daripada aksi longlai sebelum ini dengan mencatat kemenangan 1-0 ke atas Atletico Madrid dalam saingan La Liga.

Ia membuka peluang buat mereka untuk meraih kejuaraan pertama sejak 2019.

Selepas dua perlawanan mencatat keputusan seri tanpa jaringan, ia membolehkan Real Madrid merapatkan jurang dengan menumpaskan Celta Vigo semalam.



Bagaimanapun, jaringan kemenangan Torres pada separuh masa pertama membolehkan mereka kembali melebarkan jurang kepada 11 mata dengan berbaki lapan perlawanan.

Atletico yang dibimbing Diego Simeone dan menduduki tangga ketiga liga hadir sebagai pasukan paling konsisten di Sepanyol namun rembatan rendah Torres di depan petak penalti mengesahkan kemenangan buat pasukan bimbingan Xavi Hernandez.

Kedua-dua pasukan mempunyai peluang untuk menjaringkan gol pada separuh masa kedua namun Barcelona berjaya mempertahankan kedudukan bagi memberikan kekalahan pertama Atletico sejak kedua-dua pasukan bertemu di Metropolitano Januari lalu.

Tuan rumah mencatat aksi tanpa bolos buat kali ke-23 musim ini dalam saingan La Liga selepas Marc-Andre ter Stegen tenang menyelamatkan usaha Antoine Griezmann untuk menyamakan kedudukan.



“Saya selalu berkata Marc antara tiga penjaga gol terbaik di dunia, dan untuk permainan kami, saya rasa dia yang terbaik,” kata Xavi kepada pemberita.

“Dia adalah jaminan kepada kepada kemenangan dan pertahanan kami. Tugas mempertahankan kubu adalah perkara asas dan Marc menjadi penentu di setiap waktu genting.”

AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button