Eksport Malaysia jatuh 14.1 peratus pada Jun

Eksport Malaysia jatuh 14.1 peratus pada Jun

Eksport Malaysia jatuh 14.1 peratus pada Jun
Jumlah perdagangan Malaysia menyusut 16.3 peratus kepada RM222.14 bilion pada Jun 2023 – Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Eksport Malaysia pada Jun 2023 merosot 14.1 peratus kepada RM123.98 bilion dan import juga berkurang 18.9 peratus kepada RM98.16 bilion.

Sejajar dengan permintaan global yang perlahan dan harga komoditi yang lebih rendah, jumlah perdagangan menyusut 16.3 peratus kepada RM222.14 bilion.

Namun, Malaysia masih mencatatkan lebihan dagangan ke-38 bulan berturut-turut sejak Mei 2020 dengan pertumbuhan dua angka 11.3 peratus kepada RM25.81 bilion, menjadikannya nilai bulanan tertinggi yang pernah direkodkan bagi bulan Jun.



Prestasi perdagangan Malaysia pada bulan lalu adalah seiring dengan pasaran serantau lain khususnya China, Singapura, Indonesia, Taiwan dan Korea Selatan yang turut mencatatkan pertumbuhan negatif.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan berkata, meskipun mencatatkan penyusutan, pertumbuhan eksport yang kukuh telah direkodkan terutamanya bagi barangan elektrik dan elektronik (E&E), barangan besi dan keluli, bijih logam dan serpihan logam, kelengkapan pengangkutan serta barangan makanan diproses.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Perikatan Nasional jangan putar belit isu Sanusi




“Berbanding Mei 2023, eksport dan lebihan dagangan masing-masing meningkat 3.7 peratus dan 64.4 peratus manakala perdagangan dan import mengurang 0.5 peratus dan 5.4 peratus,” katanya.

Bagi suku kedua 2023, perdagangan berkurang 11.3 peratus kepada RM643.22 bilion berbanding suku sama 2022.

Pada suku tahunan itu, eksport menurun 11.1 peratus kepada RM348.68 bilion, import menyusut 11.5 peratus kepada RM294.54 bilion dan lebihan dagangan mengecil 8.8 peratus kepada RM54.14 bilion.

Bagi separuh pertama 2023 pula, perdagangan Malaysia menguncup 4.6 peratus kepada RM1.288 trilion berbanding tempoh yang sama tahun lalu.



Eksport berkurangan sebanyak 4.5 peratus kepada RM703.27 bilion, import menyusut 4.7 peratus kepada RM584.75 bilion dan lebihan dagangan turun sebanyak 3.6 peratus kepada RM118.52 bilion.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

PN Semakin Sukar Apabila Sanusi Di Heret Ke Mahkamah


Pada Jun 2023, eksport barangan perkilangan yang merangkumi 87.7 peratus atau RM108.78 bilion daripada jumlah eksport mengurang 9.5 peratus tahun ke tahun berikutan penurunan eksport keluaran petroleum, barangan perkilangan berasaskan minyak sawit serta kimia dan bahan kimia.



Walaupun mencatatkan penyusutan, kenaikan eksport telah direkodkan bagi barangan E&E, barangan besi dan keluli serta kelengkapan pengangkutan.

Eksport keluaran pertanian berjumlah RM7.44 bilion, menurun 42.1 peratus berbanding Jun 2022 disebabkan oleh pengurangan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, berikutan pengurangan ketara dalam harga eksport minyak sawit walaupun kuantiti eksport meningkat.

Eksport hasil galian pula menguncup 34.9 peratus tahun ke tahun kepada RM6.91 bilion berikutan penurunan eksport gas asli cecair (LNG) dan petroleum mentah.

Pada Jun 2023, perdagangan dengan ASEAN merangkumi 27.9 peratus atau RM61.98 bilion daripada jumlah perdagangan Malaysia, menyusut 14.7 peratus tahun ke tahun.



Eksport menguncup 8.5 peratus kepada RM37.71 bilion, disebabkan oleh pengurangan eksport keluaran petroleum, petroleum mentah serta kimia dan bahan kimia.

Walau bagaimanapun, pengurangan itu telah diimbangi oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E.

Sementara itu, import dari ASEAN berkurang 22.8 peratus kepada RM24.27 bilion.

Eksport Malaysia jatuh 14.1 peratus pada Jun


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Sanusi Belum Terima Atau Tak Jawab Penggilan SPRM?



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button