Harga ayam RM9.80 hingga RM13.90 sekilo di Sarawak

Kuching: Harga runcit ayam ditetapkan pada harga RM9.80 hingga RM13.90 sekilogram manakala harga runcit telur ayam pula ditetapkan antara 43 sen sebiji hingga 50 sen mengikut gred A, B dan C di Sarawak, mulai esok.

Berdasarkan senarai penentuan harga maksimum ayam dan telur ayam yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Ogos ini, harga dua barang keperluan itu berbeza mengikut zon.

Bagi zon Kuching, Lundu, Bau, Serian, Simunjan, Samarahan dan Asajaya harga runcit ayam standard dijual pada harga RM9.80 manakala ayam super pula RM10.80 sekilogram.

Harga sama ditetapkan bagi zon Sibu, Kanowit dan Selangau; zon Miri dan Marudi; zon Bintulu, Tatau dan Sebauh; zon Sarikei, Julau, Pakan dan Meradong serta zon Mukah, Dalat, Matu dan Daro.

Bagi zon Sri Aman, Saratok, Betong dan Lubok Antu, ayam standard dijual pada harga RM10.50 manakala ayam super pada harga RM11.50.

Zon Kapit, Bukit Mabong, Song dan Belaga pula ayam standard dijual pada harga RM11.40 manakala ayam super RM12.40.

Bagi zon Limbang dan Lawas, harga ayam standard dijual pada harga RM12.90 dan ayam super dijual pada harga RM13.90.

Sementara itu harga telur ayam gred A ditetapkan pada harga 45 sen sebiji, gred B (45 sen) dan gred C (43 sen) di daerah Kuching, Lundu, Bau, Serian, Samarahan, Asajaya, Sri Aman, Saratok, Betong, Lubok Antu, Sibu, Kanowit, Selangau, Miri, Marudi, Bintulu, Tatau, Sebauh, Sarikei, Julau, Pakan, Meradong, Mukah, Dalat, Matu dan Daro.

Bagi daerah Kapit, Bukit Mabong, Song dan Belaga, telur ayam gred A ditetapkan pada harga 50 sen sebiji, gred B (48 sen) manakala gred C (46 sen).

Di daerah Limbang dan Lawas pula, telur ayam gred A ditetapkan 49 sen sebiji, gred B (47) dan gred C (45 sen).

METRO

Leave a Reply