Arsenal kekal rekod 100 peratus

LONDON: Gabriel Jesus dan Gabriel Martinelli memastikan kemenangan 2-1 Arsenal ke atas Aston Villa dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Emirates dan mengekalkan rekod 100 peratus The Gunners musim ini.

Gandingan Brazil itu menjaringkan gol di setiap babak untuk Arsenal terus mendahului liga dengan 15 mata selepas lima perlawanan.

Jesus membuka jaringan pada minit ke-31 dengan Martinelli meledak gol kemenangan pada minit ke-77, tiga minit selepas Villa menyamakan kedudukan menerusi pemain gantian Douglas Luiz yang menjaringkan gol terus daripada sepakan sudut.



Ia adalah kekalahan keempat Villa dalam lima perlawanan, sekali gus menambah tekanan ke atas pengendalinya, Steven Gerrard.

“Babak pertama adalah antara yang terbaik pernah kami persembahkan, kemudian kami dibolosi dan perlawanan kembali sengit. Namun pasukan sekali lagi bertindak balas dengan baik,” kata pengendali Arsenal, Mikel Arteta.

Sementara itu Steven Gerrard mengakui dia mula memikirkan tentang masa depannya selepas empat kekalahan musim ini.

“Sudah tentu saya risau. Saya seorang yang amat jujur dan sentiasa menilai kelemahan saya sendiri,” kata Gerrard.



AGENSI

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button