Ukraine tolak gencatan senjata 36 jam
Ukraine tolak gencatan senjata 36 jam
KYIV: Peribahasa Melayu ada menyebut, ‘ada udang di sebalik batu’. Begitulah firasat Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy ketika ini berhubung langkah gencatan senjata selama 36 jam yang dilancarkan oleh Russia sepanjang tempoh sambutan Krismas Ortodoks selama dua hari bermula semalam.
Zelenskyy dikuasai rasa was-was dan skeptikal selain kekal menolak langkah yang dianggap mempunyai helah tertentu oleh pihak Russia.
Menurut Zelenskyy, gencatan senjata itu didakwa menyekat ‘kemajuan’ tentera Ukraine di wilayah timur Donbas selain membolehkan Russia membawa masuk lebih banyak tentera ke wilayah taklukan mereka.
Namun, apa yang beliau impikan ketika ini adalah gencatan senjata untuk selama-lamanya dan juga keamanan untuk Ukraine.
“Russia berulang kali tidak mengendahkan pelan keamanan Kyiv.
“Mereka kini mahu menggunakan Krismas untuk menutup helah, walaupun secara ringkasnya adalah untuk menghentikan kemaraan tentera kami di Donbas dengan peralatan, peluru dan kemaraan tentera yang digerakkan lebih dekat kepada kedudukan kami,” katanya menerusi ucapan yang dibuat menerusi video semalam.
Zelenskyy menyifatkan usaha Russia itu hanya menyebabkan kerugian menyeluruh yang lebih besar.
Kelmarin, Presiden Russia,Vladimir Putin mengarahkan gencatan senjata selama 36 jam bermula tengah hari Jumaat dan berakhir pada pukul 9 malam (waktu tempatan) pada hari Sabtu (hari ini).
PERMINTAAN KETUA GEREJA ORTODOKS
Kata Putin, gencatan senjata itu dibuat atas permintaan Ketua Gereja Ortodoks Rusia, Patriarch Kirill dari Moscow, kelmarin.
“Kami mempertimbangkan rayuan Kirill. Saya mengarahkan Menteri Pertahanan Russia untuk memperkenalkan gencatan senjata sepanjang tempat taklukan kami di Ukraine, katanya.
Arahan gencatan senjata itu bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada akan digunakan untuk kedua-dua operasi serangan dan pertahanan oleh Russia.
Juga tidak jelas sama ada Russia akan membuat serangan balas jika Ukraine terus berperang dalam tempoh gencatan senjata tersebut.
TERIMA SOKONGAN AS DAN JERMAN
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden menyifatkan arahan gencatan senjata oleh Putin itu sebagai satu usaha untuk berehat seketika daripada peperangan.
“Dia (Putin) sudah sedia untuk bom hospital dan pusat jagaan serta gereja-gereja pada 25 Disember dan pada tahun baharu. Saya fikir dia mahu mendapatkan sedikit ‘oksigen’,” katanya.
Jurucakap Jabatan Negara AS, Ned Price pula menggelarkan gencatan senjata itu sebagai sinikal.
“Kami kurang percaya dengan niat di sebalik pengumuman ini,” ujarnya.
Kelmarin, pemimpin-pemimpin AS dan Jerman mengumumkan untuk menghantar kenderaan tempur berperisai ke Ukraine.
Langkah ini bagi meningkatkan sokongan ketenteraan untuk Kyiv bagi menangkis tentera Russia selepas langkah serupa dibuat Perancis awal minggu ini.
Dalam kenyataan bersama Biden dan Canselor Jerman, Olaf Scholz, AS akan menyediakan Ukraine dengan kenderaan tempur berperisai Bradley manakala Jerman akan menyediakan kenderaan tempur berperisai Marder.
Pada Ahad lalu, seramai 63 askar Russia terbunuh di timur Ukraine selepas tentera Ukraine membedil sebuah kem menggunakan sistem peluru berpandu HIMARS yang dibekalkan oleh AS, kata Kementerian Pertahanan Russia dalam satu pengumuman.
Bagaimanapun, tanpa mengaku melancarkan serangan itu, tentera Ukraine pula berkata, angka korban akibat bedilan di bandar Makiivka, rantau Donetsk di timur Ukraine yang dikuasai Moscow itu adalah jauh lebih tinggi.-Al Jazeera/AGENSI
Ukraine beri amaran Russia bakal lancar serangan baharu menjelang tahun baharu
Ukraine tolak gencatan senjata 36 jam
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- BN Sabah Tarik Sokongan, Kerajaan GRS Sabah Tumbang
- Saingan sengit Naib Presiden Umno
- Sistem kehakiman Malaysia setara Junta Mynmar jika Kes Najiib diadu ke United Nation.
LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :