BN Dan PH Mesti Berusaha Untuk Memupuk Kerjasama Kerajaan Perpaduan Di Peringkat Akar Umbi

BN Dan PH Mesti Berusaha Untuk Memupuk Kerjasama Kerajaan Perpaduan Di Peringkat Akar Umbi

BN Dan PH Mesti Berusaha Untuk Memupuk Kerjasama Kerajaan Perpaduan Di Peringkat Akar Umbi

Usia Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Anwar Ibrahim pasca PRU 15 hampir menjangkau usia 50 hari.

Untuk sebuah kerajaan, usia 50 hari adalah jangkawaktu yang cukup singkat untuk dinilai pencapaian mereka.



Tetapi jangan lupa, Kerajaan Perpaduan tidak dibarisi oleh pemimpin yang cetek pengalaman pentadbiran.

Mereka dianggotai oleh barisan pemimpin yang sudah mempunyai pengalaman sama ada sebagai kerajaan, mahu pun pembangkang.

Setakat ini, di peringkat pusat, kerjasama antara pemimpin di dalam Kerajaan Perpaduan dilihat berada dalam keadaan yang cukup baik.

Tetapi bagaimana pula penerimaan pemimpin dan rakyat di peringkat akar umbi, terutamanya dari parti yang bergabung di dalam Kerajaan Perpaduan?



Dua parti yang menjadi tunggak di dalam Kerajaan Perpaduan adalah Pakatan Harapan dan juga Barisan Nasional.

Walau pun Anwar Ibrahim adalah pemimpin kepada Kerajaan Perpaduan, tetapi PKR bukanlah parti tunggak di dalam Pakatan Harapan.

Yang menjadi parti tunggak di dalam Pakatan Harapan adalah DAP.

Manakala di dalam Barisan Nasional pula, parti yang menjadi tunggak adalah parti UMNO.



Semangat Kerajaan Perpaduan Mesti Di Suburkan Di Peringkat Akar Umbi

Persoalannya sekarang, bagaimanakah penerimaan akar umbi UMNO dan DAP terhadap kerjasama di dalam Kerajaan Perpaduan?

UMNO dan DAP adalah dua parti yang sudah berdekad bermusuhan di dalam dunia politik.

Bolehkah akar umbi UMNO dan DAP menerima kerjasama antara mereka setelah bermusuhan selama berdekad tanpa ada sebarang rasa prejudis antara satu sama lain?

Sejarah membuktikan, tanpa sokongan dan dokongan dari akar umbi, kerjasama antara dua parti tidak akan mampu bertahan lama.



Penulis melihat, pemimpin di peringkat pusat kurang melakukan usaha untuk menyuburkan semangat Kerajaan Perpaduan di kalangan akar umbi mereka.

Kegagalan Anwar Ibrahim menyelesaikan dengan baik kemelut politik yang berlaku di Sabah adalah satu kegagalan yang mesti dipandang dengan serius.

Saranan beliau supaya semangat Kerajaan Perpaduan di pusat diteruskan di Sabah telah ditolak dengan mentah oleh pemimpin GRS di peringkat pusat.

Malah pemimpin GRS Sabah dilihat lebih akur kepada pemimpin PN dalam membuat keputusan.



Ini adalah satu petanda yang tidak baik dan boleh menjadi barah kepada jangka hayat Kerajaan Perpaduan sekiranya tidak ditangani dengan baik.

Begitu juga keputusan UMNO tidak menjemput mana-mana pemimpin komponen di dalam Kerajaan Perpaduan dilihat sebagai keputusan yang tidak bijak.

UMNO sepatutnya menggunakan PAU 2022 sebagai platfom untuk menyiburkan semangat Kerajaan Perpaduan di peringkat akar umbi.

Pemimpin Pakatan Harapan sepatutnya dijemput hadir dalam PAU 2022 sebagaimana UMNO menjemput pemimpin PAS satu ketika dahulu.



Jangan diabaikan keresahan yang sedang dialami oleh akar umbi atas kerjasama antara BN dan PH dalam Kerajaan Perpaduan.

Jangan lupa, tegaknya pucuk kerana akar dan sekiranya akar tidak kukuh, setinggi mana pun pucuk berada, lambat laun, pasti akan rebah ke bumi.

 

BN Dan PH Mesti Berusaha Untuk Memupuk Kerjasama Kerajaan Perpaduan Di Peringkat Akar Umbi

 

Di Syorkan Untuk Anda:

Temui Kami:

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button