Peniaga didenda RM1,500 miliki 41 senjata tiruan

Peniaga didenda RM1,500 miliki 41 senjata tiruan

Peniaga didenda RM1,500 miliki 41 senjata tiruan
Hamdihafizi didenda RM1,500 atas kesalahan memiliki 41 senjata tiruan. – NSTP/MEOR RIDUWAN MEOR AHMAD

MELAKA: Seorang peniaga barangan hobi didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas kesalahan memiliki 41 senjata tiruan di sebuah premis di Klebang pada Ogos lalu.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Hamdihafizi Ab Karim, 33, mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki senjata tiruan berupa pistol, rifel M16, busur dan senapang patah pelbagai jenama, selain bebola besi dan plastik serta tabung gas tanpa kebenaran sah.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Lot 86, Jebat Street, Klebang, kira-kira jam 10 malam 14 Ogos lalu.



Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM5,000, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya memohon dikenakan denda RM500 dan memaklumkan dia adalah peniaga mikro menjual pelbagai barangan hobi, termasuk pistol tiruan yang dikatakan 90 peratus adalah plastik, selain mendakwa tidak mengetahui ia salah dan memerlukan lesen khusus.


Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asnini Kamarudin, memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran supaya tertuduh tidak mengulangi kesalahan itu.

Beliau turut memohon kebenaran mahkamah untuk melupuskan semua senjata tiruan berkenaan mengikut peruntukan Seksyen 407 Kanun Acara Jenayah dibaca bersama Seksyen 36(2) Akta Senjata 1960, dan dibenarkan oleh mahkamah.

Peniaga didenda RM1,500 miliki 41 senjata tiruan

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button