Turun naik ringgit akan terus ditentukan pasaran

KUALA LUMPUR: Pergerakan ringgit akan terus ditentukan oleh pasaran, tegas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Gabenor bank pusat itu dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan bahawa pasaran pertukaran asing terus berfungsi dan mengantara dengan berkesan.

Beliau berkata, jumlah urus niaga pertukaran asing harian tempatan terus meningkat hingga mencapai purata semasa sebanyak AS$13.3 bilion berbanding dengan AS$11.3 bilion pada 2021 berikutan aliran pertukaran dua hala.



“Aktiviti pasaran bon kekal kukuh, disokong mantap oleh pelabur institusi dan institusi kewangan. Operasi pasaran BNM akan memastikan keadaan mudah tunai yang mencukupi dan pasaran kewangan berfungsi dengan teratur,” katanya.

Nor Shamsiah berkata, Malaysia kekal sebagai ekonomi terbuka, dengan keutamaan dasar pada masa ini

adalah untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam persekitaran harga yang stabil serta mengukuhkan lagi asas-asas ekonomi dalam negeri melalui pembaharuan struktur dan bukannya dengan melaksanakan kawalan modal atau menambat semula ringgit.

“Hal ini akan memberikan sokongan yang lebih berterusan untuk ringgit,” katanya.



Nor Shamsiah berkata, BNM terus memantau dengan rapi dan memastikan pasaran kewangan terus teratur dalam keadaan perkembangan luaran yang telah menyebabkan dolar Amerika Syarikat (AS) terus kukuh berbanding dengan hampir semua mata wang, termasuk ringgit.

Beliau menjelaskan, nilai dolar AS telah menjadi kukuh dengan ketara disebabkan oleh dasar monetari di AS yang diperketat secara agresif.

Katanya, keadaan kewangan global yang lebih ketat dan ketidaktentuan yang lebih ketara dalam pasaran pertukaran asing dijangka tidak menjejaskan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Ekonomi negara telah berkembang sebanyak 8.9 peratus pada suku kedua dan akan terus didorong oleh keadaan pasaran pekerja yang semakin bertambah baik dan aktiviti pelancongan yang semakin giat.



“Eksport disokong oleh produk dan pasaran negara yang sangat pelbagai. Sistem kewangan domestik mempunyai tahap permodalan yang kukuh dengan mudah tunai yang lebih daripada mencukupi. Pengantaraan kewangan juga terus menyokong ekonomi,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button