Sindiket guna aplikasi cari jodoh tawar permainan judi palsu

Sindiket guna aplikasi cari jodoh tawar permainan judi palsu

Sindiket guna aplikasi cari jodoh tawar permainan judi palsu
Ketua Pengarah (JSJK) Komisioner Polis Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf (dua kiri) bersama-sama pegawai kanan polis pada sidang media di Ibu Pejabat JSJK Bukit Amani hari ini. – Foto NSTP/Amirudin Sahib

KUALA LUMPUR: Satu sindiket penipuan judi dalam talian dikesan menggunakan aplikasi sembang dan mencari jodoh secara maya untuk mencari mangsa.

Taktik itu terbongkar selepas polis menahan lima lelaki termasuk seorang remaja bawah umur berusia 16 tahun di sebuah premis di Genting Highlands, Pahang, Isnin lalu.

Menerusi serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman itu, premis berkenaan didapati dijadikan pusat panggilan yang menawarkan khidmat perjudian dalam talian.



Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata sindiket ini dipercayai akan mencipta akaun palsu di laman sosial seperti aplikasi Tantan, Bumble Dating, CMB Dating dan Tinder untuk berkenalan dan mencari mangsa sebelum menawarkan permainan judi dalam talian.

Menurutnya, mangsa yang terpedaya kemudiannya akan ditawarkan permainan judi palsu melalui laman sesawang https://luxewin.co/.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

BERSATU makin lemah, Bukit Gantang sokong PMX


“Pada awalnya, mangsa akan diberikan kemenangan mudah dan dibayar pulangan yang dijanjikan.

“Namun setelah bayaran dibuat, hadiah kemenangan berkenaan gagal ditebus,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman di sini, hari ini.



Mengulas lanjut, Ramli berkata, sindiket penipuan ini turut menyasarkan rakyat tempatan sebagai mangsa mereka.

“Hasil serbuan itu, kita turut merampas lima unit ‘note book’ serta 22 telefon bimbit dan tiga kad akses.

“Empat suspek yang ditahan direman tiga hari sehingga esok manakala seorang lagi ditahan selama dua hari bagi siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Muhyiddin bakal jadi Presiden ‘Geng Takut Bini’?


Dalam kes berasingan, Ramli berkata satu lagi serbuan turut dilakukan pada hari sama di empat premis di Kuching, Sarawak dan menahan 65 warga tempatan berusia dalam lingkungan 16 hingga 50 tahun kerana disyaki mengendalikan pusat panggilan penipuan bagi tawaran kerja tidak wujud.

Menurut Ramli, menerusi serbuan itu, polis turut menahan ketua sindiket terbabit iaitu seorang lelaki berusia 45 tahun .

“Turut dirampas adalah 137 unit telefon bimbit, komputer (45), modem wifi (enam), jam tangan (lima) dan kenderaan pelbagai jenama (empat).

“Siasatan awal mendapati, sindiket ini menyasarkan mangsa dalam kalangan warga Australia dan Amerika Selatan seperti Brazil, Peru, Paraguay, Chile dan lain- lain,” jelasnya.

Kata beliau, modus operandi mereka adalah dengan menggunakan aplikasi Monday untuk memasukkan data pelanggan yang berminat untuk membuat kerja sambilan.

“Mereka juga menggunakan aplikasi Telegram, LinkedIn dan Facebook untuk mencari dan berkenalan dengan mangsa.

“Mangsa yang berminat akan diberikan pautan bagi tujuan pendaftaran dan menyelesaikan tugasan yang diberikan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menambah, mangsa akan dikenakan bayaran bagi setiap tugasan diberikan dan dijanjikan komisen berserta pulangan semula wang bagi setiap tugasan yang dilengkapkan.

“Tugasan yang perlu dilakukan adalah memberikan ‘review ‘dan mempromosikan tiket penerbangan melalui laman sesawang cheap-airflight.live yang dikendalikan sindiket terbabit,” katanya

Ramli berkata, empat premis yang diserbu adalah milik seorang individu sama dan individu terbabit mendakwa menyewakan premis miliknya dan menafikan pengetahuannya berkaitan aktiviti jenayah yang dilakukan di dalam premis berkenaan.

Bagaimanapun, pemilik premis gagal mengemukakan sebarang dokumen perjanjian sewaan yang boleh mengesahkan dakwaannya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan 120B Kanun Keseksaan.

Sindiket guna aplikasi cari jodoh tawar permainan judi palsu


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Akhirnya Muhyiddin Tunduk Kepada PAS

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker